Pemerkasaan huffaz melalui TVET beri peluang lebih baik

PROGRAM Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah yang ditawarkan Kerajaan Perak membuka ruang serta peluang kepada anak-anak tahfiz di Perak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam memastikan golongan penghafal al-Quran atau huffaz di negeri ini tidak dipinggirkan malah diperkasakan.

Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah itu juga selari dengan hasrat menjadikan Perak sebagai Koridor TVET negara seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Program kerjasama antara Yayasan Perak dan Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK) melalui Akademi TVET UniRAZAK (ATUR) disokong secara strategik oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu bakal memberikan manfaat kepada 100 pelajar terpilih dari seluruh Perak.

Kerjasama strategik tersebut membuka laluan pendidikan alternatif kepada lepasan tahfiz yang tidak melalui aliran akademik arus perdana sekali gus memperkasa mereka dengan kelayakan profesional untuk menyumbang dalam sektor pelancongan Islam, dakwah dan ekonomi ummah.

Gambar hiasan

Sebagai nilai tambah utama, pelajar akan mengikuti praktikum eksklusif di Makkah dan Madinah untuk memperoleh pendedahan dunia sebenar.

Bagi meringankan beban kewangan permulaan, kerajaan negeri menyediakan tajaan pendahuluan berjumlah RM2,500 kepada 100 orang pelajar terawal sekali gus mempercepatkan penyesuaian pelajar kepada keperluan program.

Pelajar yang terpilih akan menjalani latihan industri, pendedahan keusahawanan serta bimbingan kerjaya yang menyeluruh, meliputi kemahiran teknikal, kompetensi perkhidmatan pelanggan dan persediaan kerjaya pasca tamat pengajian.

Pernah mohon bidang kimpalan namun gagal

Bagi Muhammad Afif Elman Mohd Asraf, 18, peluang yang diterimanya menyambung pengajian di peringkat Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah memberinya peluang untuk mnceburi bidang TVET.

Anak sulang daripada tiga beradik itu pernah memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang TVET sebelum ini namun gagal.

“Sebelum ini saya pernah minta untuk masuk TVET dalam bidang kimpalan tetapi gagal memandangkan tiada pengetahuan asas.

Muhammad Afif Elman Mohd Asraf menunjukkan surat tawaran Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah yang diterimanya.

“Bila saya mengetahui mengenai peluang yang disediakan Kerajaan Perak untuk mutawif oleh ustaz saya maka saya memberanikan diri untuk mencuba dan Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan oleh Allah S.W.T,” katanya.

Beliau yang berasal dari Teluk Intan turut menzahirkan harapan untuk membanggakan kedua-dua orang tuanya dengan memperoleh keputusan cemerlang kelak.

“Harapan saya agar setiap peperiksaan dapat dijawab dengan baik serta membanggakan keluarga saya dan seterusnya dapat menjejakkan kaki ke tanah suci.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Perak dan Kerajaan Negeri menyediakan peluang buat kami golongan huffaz,” katanya.

Tiada hala tuju sebelum terima tawaran belajar

Bagi Abdul Haziq Hamdi Khairol Rizal, 19, peluang yang disediakan Kerajaan Perak kepada golongan hufaz yang sudah tamat pengajian amat berharga dan akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, dia yang telah menamatkan pengajian tidak mengetahui hala tuju menyambung pelajaran sehingga dimaklumkan bahawa terdapat tawaran mengikuti Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah.

“Mulanya saya tidak tahu mahu ke mana selepas tamat pengajian namun bila dimaklumkan rakan ada tawaran daripada Kerajaan Perak untuk golongan seperti kami maka saya mencuba.

“Alhamdulillah bila diberitahu lulus dan turut menerima tajaan pendahuluan saya amat bersyukur dan berazam untuk memanfaatkan peluang diberi dengan sebaiknya,” katanya.

Abdul Haziq Hamdi Khairol Rizal,

Dia yang menaruh impian untuk menjadi seorang mutawif berkata, minatnya terhadap bidang itu telah lama ada memandangkan bapa kepada rakannya merupakan seorang mutawif.

“Saya memang bercita-cita untuk meneruskan kerjaya sebagai mutawif selain mendalami ilmu baharu yang lebih tertumpu dalam bidang kemahiran.

“Saya meminati bidang ini selepas mendengar cerita rakan mengenai ayahnya seorang mutawif dan bila ada peluang untuk sertai program ini, saya terus menghadiri temuduga dan alhamdulillah terpilih.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Perak dan Yayasan Perak yang memberi peluang kepada kami untuk menjadi insan yang berjaya dalam bidang yang diminati,” katanya.

Impian ceburi bidang TVET tercapai

Sementara itu, seorang lagi pelajar Abdul Mui’zz Solehin Muhammad, 23, turut menzahirkan kegembiraan dan rasa syukur terpilih menyertai program tersebut.

Katanya, meskipun pendidikannya berlatar belakang agama dia menaruh harapan untuk menceburi bidang TVET dan apabila diberi peluang sedemikian ia amat bermakna buat dirinya.

Mengakui proses temuduga yang dihadirinya sebelum ini agak mencabar dia tidak menyangka namanya antara yang dipilih mengikuti Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah serta ditawarkan tajaan pendahuluan.

Abdul Mu’izz. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Sebelum ini emak saya menasihati untuk menyambung pelajaran dalam bidang TVET selepas tamat pengajian di pondok dan Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik dengan mempersiapkan mental serta fizikal sehingga berjaya menamatkan pengajian dan bergelar mutawif,” katanya.

Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah rancak pelancongan Islamik

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, Diploma TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah merupakan program pertama ditawarkan kepada pelajar tahfiz di negeri ini serta di Malaysia.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada program Empower Tahfiz yang merupakan inisiatif khas bagi pemerkasaan anak-anak tahfiz di negeri ini.

“Untuk makluman program ini tidak memerlukan kelayakan SPM yang merupakan halangan kepada pelajar tahfiz yang ingin melanjutkan pelajaran.

“Jadi dengan adanya program ini ia bukan lagi halangan tetapi peluang baharu buat mereka untuk menyambung pelajaran ke kerjaya yang lebih profesional,” katanya.

Tambah beliau, ia juga merupakan satu usaha merevolusikan pelancongan Islamik di Perak malah juga di Malaysia.

Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan

“Jadi dengan adanya program pengurusan mutawif ini kita dapat menyediakan pelancongan Islamik yang lebih tersusun, teratur dan juga lebih bernilai tambah tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana program berkenaan menyokong hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030, Nasreen Khanum berkata, ia selari dengan agenda Perak sebagai koridor TVET negara.

Katanya, sebagai agensi peneraju pemerkasaan pendidikan negeri, Yayasan Perak sentiasa menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 terutamanya bidang pendidikan.

“Menteri Besar Perak sentiasa menekankan pemerkasaan modal insan di negeri dan ini merupakan salah satu usaha dalam memperkasakan modal insan dengan menyediakan peluang lebih profesional kepada anak-anak negeri ini,” katanya. -MG Perak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI