TAIPING – Tiga ekor gajah Asia dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, (ZTO) Jepun berada dalam keadaan sihat, menerima penjagaan harian yang berterusan serta dipantau secara rapi oleh pasukan penjaga haiwan dan pegawai veterinar berpengalaman.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, pelbagai tuduhan termasuk dakwaan kononnya haiwan berkenaan tidak menerima makanan mencukupi, diasingkan secara tidak wajar serta menjadi mangsa penderaan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan laporan pemantauan berkala yang diterima daripada pihak zoo berkenaan.
Menurutnya, MPT memandang serius terhadap pelbagai dakwaan dan spekulasi yang masih ditularkan di media sosial berhubung keadaan kebajikan tiga ekor haiwan tersebut.
“Berdasarkan rekod pemantauan terkini, Dara dan Amoi telah mencatatkan peningkatan berat badan sebanyak 85 kilogram (kg) bagi Dara dan 60kg bagi Amoi berbanding berat pada 8 Mei lalu.
“Peningkatan berat badan yang konsisten ini adalah petunjuk penting bahawa keperluan pemakanan dan penjagaan kesihatan haiwan-haiwan tersebut dipenuhi dengan baik.
“Bagaimanapun, Kelat mengalami penurunan berat badan sebanyak 220kg disebabkan sedang melalu tempoh musth.
“Dalam tempoh ini, perubahan hormon yang ketara boleh menyebabkan perubahan selera makan dan peningkatan aktiviti fizikal. Oleh itu, penurunan berat badan yang dialami oleh Kelat adalah ciri-ciri normal gajah jantan yang sedang melalui fasa musth,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Berhubung dakwaan bahawa Kelat diasingkan daripada Dara dan Amoi sebagai tindakan yang bercanggah dengan kebajikan gajah, Mohamed Akmal menjelaskan bahawa, pengasingan tersebut adalah langkah pengurusan yang normal dan dilaksanakan berikutan Kelat sedang melalui fasa musth, iaitu keadaan fisiologi semula jadi yang lazim dialami oleh gajah jantan dewasa.
“Dalam tempoh ini, paras hormon testosteron meningkat dengan ketara dan boleh menyebabkan perubahan tingkah laku termasuk sifat lebih dominan, sensitif serta agresif.
“Sebagai langkah keselamatan kepada haiwan, penjaga dan pengunjung zoo, Kelat telah ditempatkan secara berasingan buat sementara waktu sepanjang tempoh musth.
“Amalan ini merupakan prosedur standard yang diamalkan oleh zoo dan tidak mencerminkan sebarang bentuk pengabaian atau penderaan terhadap haiwan tersebut.
“Kini, fasa musth Kelat telah disahkan berakhir dan gajah itu telah ditempatkan semula bersama Dara dan Amoi.
“Hasil pemantauan oleh pasukan penjaga haiwan menunjukkan Kelat berinteraksi dengan baik serta mempamerkan tingkah laku yang normal dan positif bersama kedua-dua gajah tersebut.
“Sebelum ini, Kelat tidak kelihatan kerana ia sebahagian daripada prosedur pengurusan musth yang dilaksanakan atas faktor keselamatan dan kebajikan haiwan serta tiada kaitan dengan isu penderaan, pengabaian atau masalah kesihatan yang disembunyikan oleh pihak zoo,” jelasnya.
Beliau berkata, dakwaan kononnya gajah-gajah tersebut tidak menerima makanan yang mencukupi adalah tidak berasas memandangkan rekod diet harian yang dikemukakan oleh pihak ZTO menunjukkan bekalan makanan disediakan mengikut keperluan nutrisi spesies serta keadaan fisiologi gajah terbabit.
Tambahnya, peningkatan berat badan yang direkodkan sejak ketibaan mereka adalah bukti jelas bahawa pengambilan makanan dan tahap kesihatan gajah-gajah tersebut berada dalam keadaan yang memuaskan.
“Bagi memastikan ketelusan serta pemantauan berterusan, MPT sentiasa berhubung dengan pengurusan ZTO dan menerima laporan berkala merangkumi aspek kesihatan, pemakanan, tingkah laku dan kebajikan haiwan.
“Sebarang isu yang memerlukan perhatian akan ditangani melalui saluran rasmi serta kerjasama rapat antara kedua-dua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Dahalan turut memaklumkan, Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia (JKP) telah meminta salinan perjanjian berkaitan penempatan gajah-gajah tersebut dan MPT telah mengemukakan salinan perjanjian berkenaan kepada pihak JKP pada 28 April lalu bagi tujuan semakan dan rujukan.
“Pihak MPT menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan mengalu-alukan pandangan yang disampaikan secara bertanggungjawab.
“Kebajikan, kesihatan dan keselamatan DAK akan terus menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program kerjasama konservasi antarabangsa ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


