IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan dana sejumlah RM3.96 juta bagi meneruskan program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) kepada calon peperiksaan utama di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang masuk tahun kelima itu melibatkan 27,432 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar kolej vokasional seluruh negeri.
Menurut beliau, jumlah dana tersebut meningkat sebanyak RM540,000 berbanding RM3.42 juta yang diperuntukkan pada tahun lalu.
“Tahun ini peruntukan program turut ditingkatkan berikutan permintaan sekolah-sekolah untuk menambah tempoh sesi daripada 20 kepada 25 hari. Pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengah hari bernilai RM5 setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
“Ini menunjukkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) mempunyai rasa tanggungjawab untuk membangunkan pendidikan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam TCS 2025 di Laman Seri Ridzuan malam tadi.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Saarani menjelaskan, pembiayaan makan tengah hari percuma ini juga sebagai usaha memberi keselesaan dan sokongan kepada pelajar sepanjang sesi pembelajaran.
Penganjuran program tersebut bukan sekadar untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi turut memberi peluang kepada pelajar menimba panduan daripada pemeriksa kertas berpengalaman.
Tambahnya, pendekatan itu membolehkan calon memahami teknik menjawab soalan dengan betul serta cara memperoleh markah penuh dalam peperiksaan.

“Bukan spot quoestion atau ramalan tetapi bimbingan daripada pemeriksa kertas sendiri. Mereka tahu bagaimana jawapan sepatutnya ditulis untuk mendapat markah terbaik. Sebab itu saya minta anak-anak beri perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, guru serta pihak sekolah yang terus menunjukkan peningkatan keputusan peperiksaan setiap tahun bagi SPM, STPM dan STAM.
Ujar beliau, kejayaan tersebut menjadi bukti keberkesanan pelaksanaan program yang diurus dengan baik, termasuk pemantauan terhadap penggunaan peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri.
“Pengarah Pelajaran membuktikan kepada pemberi dana bahawa duit yang diberi dijaga elok. Guru mengajar bersungguh-sungguh, pelajar belajar dan makan dengan baik, hasilnya keputusan juga baik. Bila nampak hasil, barulah mereka tambah peruntukan,” jelasnya.
Pelaksanaan inisiatif ini disokong melalui sumbangan lima syarikat GLC melibatkan dengan jumlah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Lembaga Air Perak (LAP), masing-masing sebanyak RM1.05 Juta.
Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) turut menyumbang sebanyak RM750,000; Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM560,000; dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) sebanyak RM550,000.
Terdahulu, Saarani bersama 500 pelajar dan ibu bapa daripada 16 buah sekolah seluruh Perak menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana bagi Peperiksaan Awam di lokasi yang sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


