Smart Kids lonjak potensi generasi muda berilmu, berakhlak, berjati diri

ANAK-anak adalah aset terpenting dalam pembinaan masa depan negara, justeru usaha melahirkan generasi muda yang kreatif, berdaya imaginasi dan inovatif perlu sentiasa diperkasakan.

Program Smart Kids muncul sebagai platform terbaik dalam merealisasikan hasrat itu apabila ia memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan bakat, menghasilkan produk sendiri serta berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.

Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, penganjuran Smart Kids turut memperkukuh semangat Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya di bawah teras pembangunan sosial yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan modal insan dan pembinaan generasi muda berkualiti.

Mereka menjadi cerminan masa depan Perak, generasi baharu yang bukan sahaja celik teknologi dan berpengetahuan, tetapi juga memiliki semangat kemanusiaan, tanggungjawab serta jati diri yang kukuh sebagai anak negeri.

Smart Kids lonjak potensi generasi muda berilmu, berakhlak, berjati diri
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika gimik perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Pendidikan nilai dan akhlak di era teknologi maklumat

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, selain anak-anak, guru-guru dan ibu bapa turut terlibat dalam program tersebut terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Menurutnya, pemupukan sikap inklusif dan toleransi, akan menghasilkan rakyat yang menghargai kepelbagaian, menghormati perbezaan, membuka minda terhadap keberagaman dalam masyarakat dan mengatasi stereotaip negatif.

“Kanak-kanak hari ini berdepan dengan persekitaran yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Jika dahulu anak-anak menghabiskan masa di padang permainan dengan permainan tradisonal, hari ini dunia global menjadi ruang utama mereka berinteraksi.

“Sebelum ini, kebimbangan kita hanyalah keselamatan fizikal, kini kita berhadapan pula dengan isu keselamatan siber, buli dalam talian dan pengaruh media sosial yang tidak terbatas.

“Pada zaman dahulu, ilmu diperoleh terhad kepada bilik darjah, kini segala maklumat terbuka luas hanya di hujung jari yang mencabar kita untuk memastikan anak-anak memanfaatkan teknologi ke arah yang betul.

Smart Kids lonjak potensi generasi muda berilmu, berakhlak, berjati diri
Persembahan sajak dari Pelajar Tabika KEMAS pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Perubahan ini menuntut kebijaksanaan semua pihak melibatkan ibu bapa, guru, masyarakat serta kerajaan untuk membimbing mereka agar seimbang antara pencapaian akademik, kesihatan jasmani, kestabilan emosi, serta nilai akhlak dan jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak (Smart Kids) 2025 di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak baru-baru ini.

Pupuk kesedaran kanak-kanak daripada gangguan, buli

Dalam pada itu, Salbiah menegaskan bahawa kesedaran terhadap keselamatan diri dalam kalangan kanak-kanak perlu sentiasa diberi penekanan, terutamanya berkaitan dengan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.

“Sebagai seorang ibu, saya menyeru supaya anak-anak memahami perbezaan antara kedua-dua jenis sentuhan itu bagi melindungi diri daripada sebarang bentuk gangguan.

“Sentuhan selamat ialah sentuhan yang membuatkan kita rasa selesa, seperti pelukan ibu bapa atau berjabat tangan dengan kawan. Sentuhan tidak selamat pula ialah sentuhan yang membuatkan kita rasa takut, marah atau tidak selesa,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan, sekiranya ada individu yang menyentuh dengan cara yang membuatkan kanak-kanak berasa tidak selamat, mereka perlu segera memberitahu orang dewasa yang dipercayai seperti ibu bapa atau guru.

Smart Kids lonjak potensi generasi muda berilmu, berakhlak, berjati diri
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berucap pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Salbiah juga mengingatkan kanak-kanak supaya berhati-hati dengan perbuatan buli, sama ada secara fizikal mahupun siber.

“Buli adalah perbuatan mengganggu, menghina atau menyakiti orang lain secara fizikal, mental dan emosi. Jika nampak kawan dibuli atau menjadi mangsa sendiri, segera laporkan kepada ibu bapa, guru atau orang dewasa lain yang dipercayai.

“Kalau anak-anak rasa takut, tak pasti atau tak berani, jangan malu untuk minta tolong. Ingat, kita semua ada hak untuk dilindungi. Jaga diri dan kawan-kawan kita. Kalau ada kawan yang dalam bahaya, cepat beritahu orang dewasa yang boleh membantu,” ujarnya.

Smart Kids wadah pembentukan sahsiah

Smart Kids lonjak potensi generasi muda berilmu, berakhlak, berjati diri
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sesi bergambar pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Sementara itu, beliau memaklumkan, program Smart Kids bukan sekadar platform untuk aktiviti riadah dan pertandingan, tetapi ia adalah inisiatif bagi membentuk generasi muda yang kreatif, berdaya saing, celik teknologi serta berakhlak mulia.

“Program ini turut berperanan sebagai wadah penting dalam pembentukan karakter dan sahsiah kanak-kanak, di samping memberi ruang kepada peserta untuk mengasah bakat serta menonjolkan potensi diri melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik.

“Pelaksanaannya memberi pengalaman berharga kepada peserta dan menjadi titik permulaan untuk mereka lebih bersemangat menimba ilmu, mengembangkan bakat serta menghargai nilai persahabatan dan semangat berpasukan,” katanya.

Katanya, program itu diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja pintar dalam akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan nilai moral, sejajar dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang berilmu, beretika dan berdaya maju. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Green Tech Perak 2025 gerakkan transformasi tenaga hijau, inovasi mampan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI