Integriti perlu dipupuk bermula dari rumah – Sultan Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa integriti perlu dipupuk melalui pendidikan berterusan, bermula di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat, serta diinspirasikan oleh kepimpinan yang berwibawa dan berakhlak mulia.

Titah baginda, ibu bapa memainkan peranan utama menyemai benih integriti dalam diri anak-anak kerana rumah merupakan madrasah pertama bagi setiap insan.

Menurut baginda, pendidikan rohani dan akhlak yang bermula di rumah perlu diteruskan oleh para guru, pemimpin serta seluruh masyarakat bagi membentuk generasi berprinsip dan berakhlak mulia.

Baginda turut menzahirkan keprihatinan supaya makna suci pendidikan dikembalikan kepada tujuan asalnya.

“Pendidikan sejati bukan hanya mengisi akal, tetapi membina jiwa serta menyatukan akal, emosi dan akhlak agar lahir insan yang bukan sahaja cerdas mindanya, tetapi luhur jiwanya,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sultan Perak turut menekankan bahawa pendidikan integriti perlu bermula sejak di bangku sekolah supaya generasi muda memahami bahawa kejayaan tanpa kejujuran tidak membawa keberkatan.

“Pendidikan integriti perlu bermula sejak di bangku sekolah, agar generasi muda memahami bahawa kejayaan tanpa kejujuran tidak membawa keberkatan.

“Justeru, sekolah dan universiti bukan sekadar tempat memindahkan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai institusi pembentuk akhlak,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan bahawa sejarah tanah air memberikan pengajaran berharga tentang pentingnya integriti dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa.

Baginda turut merujuk kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 yang bukan hanya berpunca daripada kekuatan musuh luar, tetapi akibat pengkhianatan dari dalam.

“Sejarah Melayu dan Suma Oriental karya Tomé Pires memperlihatkan bagaimana kelemahan pentadbiran, perebutan kuasa, serta pengkhianatan oleh sebahagian pembesar telah membuka ruang kepada penjajahan asing,” titah baginda.

Sultan Perak menyeru supaya sejarah dijadikan pedoman oleh generasi masa kini serta turut mengingatkan bahawa tanpa integriti, kekuasaan akan menjadi rapuh, dan tanpa kejujuran, kemerdekaan boleh terancam.

“Maka setiap insan yang memegang amanah, sama ada dalam sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan sukarela, kebajikan mahupun sukan, hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru dan menjunjung integriti sebagai asas kesejahteraan negeri serta kemakmuran negara,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Fitnah dan kebencian di media sosial cetus perpecahan – Sultan Nazrin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI