IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited memperkukuh tahap kebersihan dan keselamatan makanan di bandar raya ini apabila 1,354 daripada 3,600 premis makanan berlesen di bawah seliaannya telah mencapai pengiktirafan Pensijilan Gred A sehingga Oktober lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, jumlah itu bersamaan 37.6 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang dilesenkan di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, MBI turut menyasarkan peningkatan kepada 50 peratus menjelang tahun 2026 melalui pelaksanaan pemeriksaan dan penggredan secara rutin yang lebih menyeluruh.
“Sijil pengiktirafan Gred A sah untuk tempoh dua tahun dari tarikh dikeluarkan, manakala permohonan pembaharuan boleh dibuat di Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI.
“Pemeriksaan semula akan dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa berdasarkan Borang Penilaian dan Penggredan Premis Makanan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Premis perlu mencapai tahap penilaian kebersihan 86 peratus dan ke atas bagi melayakkan diri menerima pengiktirafan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan sijil penarafan dan penilaian premis Gred A kepada Pengurus Begum’s Restaurant & Café, Abul Kalam Sahul Hamid di Pusat Perdagangan Canning 2 di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua WHIP MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Wong Kar Keat serta Ketua Jabatan MBI.
Dalam perkembangan sama, Zamakhshari menjelaskan, penilaian Gred A turut mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsepkan Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).
“Selain itu, premis perlu menyediakan dokumentasi lengkap termasuk rekod suntikan anti-typhoid bagi pengendali makanan, penyertaan kursus pengendalian makanan, pemasangan alat perangkap minyak serta pelaksanaan kawalan serangga perosak secara berkala.
“Pengiktirafan ini memberi pelbagai manfaat termasuk menjamin kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan yang lebih terjamin, meningkatkan imej industri gastronomi tempatan, serta menarik pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.
Katanya, pencapaian ini turut menyokong usaha menjadikan Ipoh sebagai ‘Bandar Pelancongan Utama Negara 2025’, selaras dengan persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sehubungan itu, MBI mengalu-alukan semua pengusaha premis makanan untuk menyertai inisiatif ini bagi memastikan kebersihan dan kualiti makanan terbaik kepada masyarakat,” jelasnya, – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI bertindak terhadap pemilik gagal bayar cukai taksiran bermula November


