KUALA KANGSAR – Seorang lelaki rentung selepas lori kontena sejuk beku muatan sayur-sayuran yang dipandunya dipercayai terbabas dan terbakar dalam nahas di Kilometer 254 Lebuhraya Utara Selatan (PLUs) arah utara dekat sini awal pagi Rabu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 3.19 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Meru Raya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah lori kontena sejuk beku jenis Volvo muatan sayur-sayuran yang terbabas ke tepi jalan lalu terbakar telah musnah terbakar 90 peratus di bahagian hadapan dan 20 peratus di bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Kebakaran itu mengakibatkan seorang lelaki berusia 64 tahun ditemui rentung di tempat duduk pemandu,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengaplikasikan Konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Mangsa yang disahkan maut di tempat kejadiaan oleh Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar merujuk kepada keadaan fizikal mangsa yang telah rentung,“ ujarnya.
Katanya, mayat dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.07 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


