IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak menerima sebarang notis daripada pihak pembangkang berkenaan cadangan pertukaran kedudukan Ketua Pembangkang DUN, Razman Zakaria, setakat ini.
Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, susulan daripada perkembangan itu kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol kekal di kerusi berkenaan pada persidangan dewan yang akan berlangsung akhir bulan ini.
“Tempoh penggantungan Razman telah tamat pada Oktober lepas dan beliau akan kembali pada persidangan DUN kali ini.
“Beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang kerana saya tidak menerima sebarang cadangan (daripada pembangkang berkenaan) pertukaran kedudukan beliau setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Speaker DUN, Jenny Choy Tsi Jen serta, Setiausaha Dewan, Mohd Ikram Ahmad.
Persidangan DUN dijadual berlangsung selama enam hari iaitu bermula pada 25 November sehingga 2 Disember dengan akan menyaksikan pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu Mohammad Zahir berharap agar episod penggantungan ADUN Semanggol itu dapat dijadikan sempadan serta pengajaran kepada semua anggota Dewan Negeri termasuk Speaker.
Tegas beliau, meskipun setiap ADUN mempunyai imuniti dan keistimewaan dalam Dewan Negeri namun ia tidak sepatutnya membolehkan mana-mana ahli untuk dengan sengaja mencetuskan sebarang kontroversi ketika berbahas.
“Kita harus menjaga tertib dalam dewan kerana segala urusan DUN yang meliputi soal meluluskan undang-undang, berbahas tentang dasar dan sebagainya dilakukan dengan tertib.
“Oleh itu setiap anggota dewan perlu mematuhi undang-undang dan Perintah Tetap Dewan Negeri sebagaimana yang telah dipelajari,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Razman yang juga Ketua Pembangkang digantung selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta semasa semasa Persidangan DUN Perak pada 16 April lalu.
Ia rentetan daripada ADUN Gunung Semanggol itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar berkenaan isu kibaran bendera negara China di Teluk Intan tahun lalu.
Pada September lalu PAS mengumumkan jawatan Pesuruhjaya PAS Perak yang disandang Razman digantikan kepada Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.
Razman menerusi hantaran pada laman Facebooknya kemudian menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan PAS Pusat khususnya Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memberi kepercayaan kepada beliau menyandang jawatan tersebut sejak tahun 2013. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


