TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai penerima anugerah kehormatan dan gelaran istiadat palsu menerusi Ops Puyuh (Penyamaran) semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sebuah rumah di Taman Banjar Jaya di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tersebut dipercayai terbabit dalam pemalsuan gelaran kehormatan dan dokumen pertubuhan tidak sah yang disyaki telah memperdaya pihak tertentu.
“Hasil soal siasat, suspek telah mengaku menyalahgunakan anugerah kehormatan dan gelaran istiadat serta mendakwa dirinya sebagai penerima anugerah diraja serta kerabat kepada beberapa institusi diraja termasuk Perak dan Kelantan,” katanya pada sidang media di IPD Hilir Perak pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya turut merampas pelbagai dokumen dan barangan yang digunakan bagi tujuan penyamaran dan memperdaya masyarakat.
“Antara rampasan termasuk beberapa dokumen ‘Watikah Penganugerahan’, sijil, lambang, kad keahlian pertubuhan tidak sah serta gambar suspek memakai pakaian istiadat dengan pelbagai gelaran kehormatan palsu.
“Selain itu, kereta jenis Toyota Corolla Altis dengan pelekat dan lambang tidak diiktiraf, selain sebuah telefon bimbit serta kad sim yang dipercayai digunakan bagi urusan penyamaran turut dirampas,” ujarnya.
Katanya, suspek turut terlibat dalam pemalsuan dokumen dan gelaran kehormatan yang dikaitkan dengan Persatuan Bekas Polis Malaysia, dipercayai bagi memperdaya pihak tertentu.
Dalam pada itu, Bakri memaklumkan bahawa suspek juga mengaku sebagai seorang pengamal perubatan tradisional yang tidak diiktiraf serta tidak memiliki kelayakan untuk menjalankan rawatan berkenaan.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta 787 (Akta Anugerah Persendirian 2017) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan ‘transporter’, rampas rokok seludup bernilai RM700,000


