8 lelaki ditahan, 226 mesin perlombongan Bitcoin haram dirampas 

TELUK INTAN – Polis menahan lapan lelaki tempatan dan merampas 226 unit mesin perlombongan mata wang digital (Bitcoin) haram dalam beberapa siri operasi khas di sekitar kawasan perumahan Teluk Intan dari 5 hingga 11 November lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan perlombongan Bitcoin haram itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).

Menurutnya, sebanyak 16 serbuan dilakukan sepanjang operasi itu berlangsung.

“Selain 226 unit mesin perlombongan Bitcoin, kita turut merampas beberapa peralatan sokongan seperti modem, TP-Link dan aksesori komputer yang digunakan dalam aktiviti tersebut.

“Seramai lapan lelaki berusia antara 17 hingga 44 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 9 hingga 11 November bagi siasatan lanjut, dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Teluk Intan,” katanya pada sidang media di IPD Hilir Perak pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan pihak TNB mengesahkan wujud penyambungan elektrik secara haram bagi tujuan menjimatkan kos operasi perlombongan.

Tambahnya, perlombongan Bitcoin secara haram ini turut mendatangkan kerugian kerana setiap satu mesin yang beroperasi ia menggunakan kekuatan 2.5 HP (kuasa kuda) bersamaan RM10,000 bagi satu bulan penggunaan elektrik.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana menggunakan bekalan elektrik tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, manakala di bawah Akta Bekalan Elektrik boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Polis memandang serius kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram kerana ia boleh menyebabkan risiko kebakaran, kerosakan sistem elektrik, membahayakan keselamatan penduduk serta mendatangkan kerugian besar kepada TNB,” ujarnya.

Bakri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perlombongan Bitcoin atau penyambungan elektrik secara haram, sambil menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu atau sindiket yang terlibat.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada IPD Hilir Perak di talian 05-6212222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Guna gelaran istiadat, kehormatan palsu, lelaki dicekup di Teluk Intan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI