Bekas pekerja TNB mengaku salah perdaya tender bernilai RM4.3 juta

IPOH – Bekas penolong jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya Jawatankuasa Penilaian Tender bagi projek pemasangan dan pentauliahan kabel bernilai RM4.3 juta, sembilan tahun lalu.

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi turut memerintahkan tertuduh, Zamhuri Ahmad Shatiry, 51, menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Berdasarkan pertuduhan, Zamhuri didakwa telah memperdaya Jawatankuasa Penilaian Tender bagi projek pemasangan dan pentauliahan kabel bungkusan udara 33kV berkapasiti 3 x 150mm² dari pencawang masuk utama Kampar ke pencawang pembahagian utama Gopeng Industri untuk TNB Distribution.

Dia pada ketika itu, sebagai setiausaha telah menyembunyikan kepentingannya di dalam syarikat Gua Besar Sdn Bhd di mana dia telah menyediakan Bill of Quantities (BQ) bagi pihak syarikat sehingga dianugerahkan tender tersebut bernilai RM 4,337,542.

Lelaki terbabit didakwa telah melakukan perbuatan tersebut di Bilik Mesyuarat Sutera, Jabatan Pembangunan Aset, Bahagian Pembahagian TNB dalam Daerah Kinta pada 1 Ogos 2016.

Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada penghujung tahun 2018 selepas projek berkenaan selesai, tertuduh melalui wakilnya telah menerima tiga keping cek bernilai RM140,000 sebagai balasan kerana membantu pihak syarikat Gua Besar Sdn Bhd dalam penyediaan BQ sehingga berjaya dianugerahkan projek tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Mohd Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zamhuri dalam rayuannya memohon hukuman ringan dijatuhkan ke atasnya memandangkan dia perlu menanggung isteri, empat orang anak serta ibunya yang juga ibu tunggal.

Bagaimanapun, Mohd Afiq memohon supaya hukuman denda dikenakan ke atas tertuduh sepertimana akuan yang telah dipersetujui oleh mahkamah.

Meor Sulaiman kemudiannya menetapkan keputusan dengan mengambil kira pengakuan salah dan rayuan tertuduh dengan menjatuhkan hukuman denda RM150,000 serta enam bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh membayar denda tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki didenda RM5,000 menyamar anggota polis trafik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI