KUALA KANGSAR – Perak menegaskan komitmen untuk memperkukuh pembentukan jati diri dan nilai murni dalam kalangan anak muda melalui kerjasama erat pelbagai pihak termasuk pertubuhan belia.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, justeru program pembangunan sahsiah perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk jati diri remaja susulan peningkatan isu sosial yang melibatkan golongan tersebut.

“Kita bercakap soal pembangunan negeri, dan kita juga sering bercakap dalam soal bagaimana kita hendak sayang akan negara.
“Namun, jika pembentukan nilai dalam diri anak-anak kita ini tidak ada, maka kita akan berterusan mendengar pelbagai masalah timbul berkaitan dengan remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Remaja Hebat Mega Peringkat Negeri Perak di Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Ulu Kenas dekat sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Mohamad Faizal Haramaini; Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria serta Penolong Pengarah AKM Negeri Perak, Safwati Shaharain.

Justeru Salbiah berkata, antara usaha yang sedang digerakkan adalah termasuk penganjuran program berkenaan yang diadakan melalui kolaborasi GPMS bersama Wanita Perak.
Ujar beliau, pelaksanaan program seumpama itu akan diteruskan tahun hadapan sebagai komitmen kerajaan negeri dalam membendung sebarang bentuk gejala sosial yang membelenggu generasi muda masa kini.

“Mungkin kita tidak mampu selesaikan semua masalah, namun setidak-tidaknya inisiatif seperti ini penting bagi pembentukan nilai dalam diri anak-anak.
“Kita juga mahu memastikan usaha pembentukan nilai remaja ini tidak hanya berlalu di sekolah semata-mata sebaliknya ia juga terus diaplikasikan di rumah mahupun dalam kalangan rakan sebaya.” katanya lagi.
Salbiah berkata, Program Remaja Hebat Mega melabuhkan tirai dengan penglibatan 3,000 pelajar daripada 12 sekolah melalui lima siri pelaksanaan mengikut zon sepanjang tahun ini.
Tambah beliau, selain daripada modul Remaja Hebat, program itu turut merangkumi Perisai Gadis yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah-sekolah terpilih. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan 2026: KBS tumpu kurangkan pengangguran belia melalui Rakan Muda


