Banjir: Menantu cemas air masuk rumah, ibu mentua terlantar

PARIT – Seorang pesakit warga emas yang baharu sahaja menjalani pembedahan dan terlantar di atas katil berdepan detik cemas apabila kediamannya dinaiki air ekoran hujan lebat pada Ahad.

Mangsa Dzulhejah Salleh, 64, yang baharu sahaja seminggu berpindah ke Kampung Nyior, Tanjung Belanja di sini, berjaya diselamatkan anggota bomba.

Menurut menantunya, Noor Azimah Masri, 36, kejadian berlaku sekitar jam 7 malam apabila air mula memasuki kediaman mereka selepas hujan lebat seharian.

Anggota bomba menyelamatkan Dzulhejah selepas kediamannya di Tanjung Belanja, Parit dinaiki air. Foto, ihsan JBPM Perak.

“Pada mulanya saya tidak terfikir akan berlaku banjir meskipun hujan tidak berhenti dari awal pagi, namun apabila memasuki jam 6 petang air mula tinggi.

“Ia berlaku begitu pantas, air masuk dari bahagian belakang dan kemudian sudah memenuhi rumah, saya terpaksa membuat beberapa panggilan bagi memohon bantuan.

“Alhamdulillah pasukan bomba tiba dan membantu mengalihkan ibu mertua saya ke tempat lebih tinggi sementara menunggu kehadiran ambulans,” katanya.

Anggota bomba dan penduduk melakukan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir sekitar daerah Perak Tengah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaaan (SK) Tanjung Belanja, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 NOVEMBER 2025.

Dia berkata demikian kepada MG Perak ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Belanja, di sini, pada Ahad.

Bercerita lanjut, Noor Azimah berkata, ini pengalaman pertamanya berhadapan situasi berkenaan dan berasa lega kerana ibu mentuanya kini selamat ditempatkan di PPS.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir di Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Azizan Ismail, 67, berkata dia dan keluarga terpaksa dibawa keluar menaiki bot pasukan penyelamat selepas kediamannya dinaiki air sehingga paras pinggang.

Anggota bomba membawa mangsa banjir keluar ke kawasan selamat dan dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Parit. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 NOVEMBER 2025.

Katanya, dia dan keluarga pada mulanya bercadang untuk menunggu di kediaman mereka sahaja kerana memikirkan situasi berkenaan hanyalah sekadar banjir biasa.

“Sini memang selalu banjir tetapi kali ini adalah yang paling teruk sehingga kami terperangkap selepas jalan masuk dinaiki air sehingga paras tengkuk,” katanya.

Hujan lebat sejak awal pagi Ahad sehingga malam menyebabkan beberapa kawasan di Parit dinaiki air dan empat PPS dibuka di daerah Perak Tengah. -MG Perak

Artikel Berkaitan:
900 mangsa banjir ditempatkan di 16 PPS di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI