Belanjawan Perak 2026: Elaun Guru KAFA dinaikkan

IPOH – Perak mengumumkan kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM200 kepada RM400 sebulan berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia menjadikan elaun Guru KAFA di Perak kini berjumlah RM1,500 sebulan termasuk RM1,100 yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah elaun Guru I’dadi dan Guru Thanawi sebanyak RM200 menjadikan elaun yang diterima RM1,400 sebulan berkuatkuasa 1 Januari 2026.

“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 3,310 guru KAFA serta 80 orang Guru I’dadi dan Thanawi di seluruh Negeri Perak.

“Ia melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM9.4 juta setahun kepada kerajaan negeri termasuk bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Di bawah usaha berterusan menegakkan syiar Islam, Saarani berkata, Perak memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta sebagai komitmen dalam memartabatkan Jabatan Kehakiman Syariah.

Jelas beliau, RM2.7 juta diperuntukkan di bawah maksud mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak manakala Jabatan Mufti Negeri Perak diperuntukkan RM5.5 juta.

“Sebagai usaha yang berterusan untuk memperteguh keupayaan institusi-institusi ummah, kerajaan negeri meneruskan peruntukan RM15 juta bagi tujuan baik pulih dan bina baharu masjid serta surau, manakala RM5 juta pula disediakan bagi Program Menaiktaraf Institusi Pendidikan Islam,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak umum guru KAFA, takmir terima BKK Aidilfitri RM500

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI