Belanjawan Perak 2026 tanda prihatin kepada Orang Asli

IPOH – Pengumuman Belanjawan Perak 2026 yang menggariskan beberapa manfaat secara khusus kepada masyarakat Orang Asli disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Temin Gerik, Mizam Sira, 40, berkata, peruntukan untuk aktiviti pembangunan komuniti, pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial antara yang disambut baik olehnya.

“Saya amat teruja dengan pengumuman Belanjawan Negeri pada kali ini kerana masyarakat kami disebut secara langsung sebagai antara penerima manfaat.

“Justeru, mewakili Tok Batin yang bukan sahaja dari Hulu Perak, malah dari keseluruhan negeri, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak selepas pembentangan Belanjawan Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Ketika pembentangan, Saarani mengumumkan beberapa inisiatif khusus kepada masyarakat Orang Asli termasuk RM1.2 juta bagi aktiviti pembangunan komuniti serta RM20 juta untuk projek membina, menaiktaraf dan menyelenggara jalan di perkampungan Orang Asli.

Selain itu turut diumumkan RM30 juta bagi Program Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial di perkampungan Orang Asli Perak.

Pada masa sama, Mizam turut menyambut baik pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar RM600 yang juga dipanjangkan kepada Tok Batin Kampung Orang Asli di negeri ini.

Kata beliau, selain dapat meringankan beban, inisiatif itu juga dapat membantu melicinkan lagi fungsi serta tugas untuk berkhidmat kepada penduduk kampung.

“Saya berharap segala perkara yang diumumkan dalam belanjawan negeri dapat terus sampai kepada semua masyarakat Orang Asli di bawah.

“Ini kerana kami yang tinggal di luar bandar sering berhadapan dengan masalah serba kekurangan. Dan pengumuman yang dibuat diharap dapat terus menambah baik kualiti hidup kami,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2026: Hampir RM75 juta untuk alam sekitar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI