IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyediakan skim bantuan sewa dan bina rumah kepada mualaf Orang Asli yang memerlukan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu MAIPk serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut menawarkan sokongan kaunseling serta bantuan emosi bagi mereka yang tinggal bersama keluarga bukan Islam supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan akidah tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Menurutnya, MAIPk dan JAIPk juga turut menjalankan program dakwah secara berterusan dengan pendekatan yang bersifat inklusif dan berperingkat supaya tidak menimbulkan konflik dalam keluarga bercampur agama. – MGPerak





