IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersedia untuk menyalurkan bantuan sewajarnya khususnya dalam kalangan asnaf yang terjejas pada pasca banjir nanti.
Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi Yusoff berkata, meskipun tiada peruntukan zakat yang dikhususkan untuk bencana berskala besar, namun pihaknya tetap menyediakan sejumlah bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Katanya, pengagihan zakat terikat kepada kategori yang digariskan dalam al-Quran merangkumi fakir, miskin, mualaf, fisabilillah, ibnu sabil, serta gharimin atau orang yang berhutang.

“Jika dirujuk kepada takrifan penerima zakat, memang tidak ada peruntukan khusus untuk mereka yang kena bencana.
“Namun, walaupun tidak banyak, kita tetap sediakan sejumlah peruntukan untuk membantu saudara-saudara kita yang terjejas banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Biasiswa dan Dermasiswa Profesional MAIPk di Hotel Casuarina@Meru Raya dekat sini, pada Jumaat.
Pada majlis Ketua Pegawai Kewangan MAIPk, Mohd Said Mohd Rais menyampaikan sumbangan hadiah hadiah komputer riba kepada 76 pelajar tajaan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal yang memperoleh keputusan 8A hingga 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Mengulas lanjut Suhaimi berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal zakat di Perak, MAIPk memainkan peranan sebagai menyokong atau melengkapi agensi atau jabatan lain dalam penyaluran bantuan mangsa banjir.

Kata beliau, namun MAIPk tetap memberikan perhatian kepada keperluan asas pasca banjir, terutama bagi membantu mangsa membersihkan kediaman atau menggantikan barangan mendesak yang rosak.
“Kalau kes individu, contoh dekat satu kampung tu ada satu rumah terbakar atau terjejas bencana, kita bantu yang seperti itu.
“Akan tetapi jika kalau bentuk bencana yang massa (besar), kita dahulukan agensi-agensi yang berada di bawah tabung bencana negara dan negeri,” ujarnya.
Setakat jam 4 petang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak merekodkan 5,501 mangsa banjir berlindung di 46 pusat pemindahan sementara.
Sebanyak enam daerah di Perak terjejas banjir antaranya Perak Tengah, Manjung, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Bagan Datuk, serta Muallim. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


