IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Digital Perak sedang mengatur beberapa sesi bengkel dan libat urus melalui pembabitan agensi Persekutuan dan negeri bagi membanti dalam penyediaan kerangka strategik kecerdasan buatan (AI) di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, Digital Perak selaku agensi pelaksana telah memulakan gerak kerja membangunkan kerangka AI di negeri ini.
Menurutnya, selain itu ia turut melibatkan jemputan kepada pakar bidang khusus daripada pihak industri.
“Gerak kerja yang dilaksana mendapat kerjasama erat daripada agensi Persekutuan di bawah Kementerian Digital iaitu Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), Digital Nasional Berhad (DNB), MyDigital Corporation, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Setiap inisiatif atau program yang bakal diwujudkan di bawah kerangka tersebut selari dengan Kerangka AI Nasional.
“Selaku Exco yang bertanggungjawab, saya telah meminta supaya segala perkara asas yang perlu diberi perhatian termasuk keselamatan data perlu dibentang dan diperhalusi semasa Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital (MeDI) yang dirancang diadakan pada 16 Disember ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Azlan memaklumkan bahawa kerajaan negeri dalam perancangan untuk mengemas kini pelan-pelan sedia ada bagi memasukkan agenda keselamatan siber dan etika AI, sejajar dengan keperluan semasa dalam memastikan keselamatan data dan perlindungan maklumat rakyat Perak terjamin.
“Bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mutu penyampaian perkhidmatan awam dengan memfokuskan utama dasar iaitu memperkukuh tadbir urus berasaskan data bagi menyokong keputusan strategik.
“Memodenkan operasi melalui automasi proses serta penggunaan aplikasi AI seperti chatbot dan analitik ramalan serta membangunkan kapasiti pegawai melalui latihan literasi digital dan kerjasama dengan institusi akademik serta industri.
“Selain itu, memastikan keselamatan siber, etika penggunaan AI dan perlindungan data dipatuhi sepenuhnya,“ ujarnya.
Mohd Azlan berharap pendekatan ini diharap dapat mempertingkat produktiviti jabatan, memodenkan penyampaian perkhidmatan, serta memacu pentadbiran Kerajaan Negeri ke arah tadbir urus digital yang lebih cekap dan responsif. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


