PASAK bantu OKU TVET cari pekerjaan sesuai mulai tahun hadapan

IPOH – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bukan sahaja menyediakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan orang kurang upaya (OKU), malah kerajaan negeri merancang supaya agensi itu turut membantu mencarikan pekerjaan bersesuaian untuk mereka mulai tahun hadapan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Datuk A Sivanesan berkata, langkah itu bertujuan memastikan OKU tidak lagi tercicir daripada peluang kerjaya selepas menamatkan latihan.

Menurutnya, program TVET OKU menunjukkan peningkatan penyertaan yang ketara, dengan 130 peserta mengikuti 10 kursus pada 2022, manakala 224 peserta mengikuti 15 kursus pada tahun ini.

“Kita akan minta pihak swasta untuk mengambil mereka sebagai pekerja sepenuh masa. PASAK akan menawarkan latihan mengikut kehendak majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PASAK di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Sivanesan turut berkongsi pengalaman ketika melawat sebuah hotel di India yang menggaji pekerja bisu dan pekak sebagai pelayan serta pekerja pengemasan hotel (housekeeping), yang membuktikan kemampuan golongan OKU untuk bekerja dalam sektor perhotelan.

PASAK bantu TVET OKU cari pekerjaan sesuai mulai tahun hadapan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 DISEMBER 2025.

“PLUS (PLUS Malaysia Berhad) pun boleh mengambil pekerja OKU khususnya dalam tugasan yang tidak memerlukan banyak pergerakan seperti di plaza tol,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya kuota khas ditetapkan bagi pengambilan pekerja dalam kalangan OKU.

“Kerajaan negeri pun, saya akan cadangkan supaya kuota diberikan untuk pengambilan pekerja dan keutamaan harus diberikan kepada OKU. Jadi, mulai tahun hadapan, anak-anak OKU kita tidak akan ketinggalan,” tegasnya.

Tambahnya, program TVET PASAK turut merangkumi pelbagai kumpulan termasuk masyarakat Orang Asli, anak yatim, warga emas, pelancongan, serta institusi tahfiz bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Pada Belanjawan Perak 2026 yang dibentangkan baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan RM4.4 juta bagi operasi dan pelaksanaan program PASAK yang telah meningkat sebanyak RM400,000 berbanding RM4 juta pada tahun lalu.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan bagi TVET turut ditingkatkan kepada RM7 juta iaitu peningkatan RM500,000 berbanding RM6.5 juta pada tahun 2025. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

TVET Perak diperkukuh, peruntukan dinaikkan kepada RM7 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI