TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dengan berada pada kedudukan ke-98 dalam senarai global UI GreenMetric 2025.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu mencerminkan pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan UPSI dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain komitmen terhadap agenda kelestarian serta pembangunan mampan di kampus.
Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti dalam menjayakan inisiatif kelestarian yang digariskan melalui pelan strategik universiti.
“Kedudukan ke-98 dunia bukan sekadar kejayaan angka, tetapi simbol keutuhan misi universiti dalam membangunkan kampus yang hijau, inklusif dan mampan.
“Ini adalah hasil kerja keras semua fakulti, pentadbiran, mahasiswa serta rakan kolaborasi strategik yang sentiasa bersama menyokong usaha ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yang pencapaian tersebut memperlihatkan kesediaan UPSI untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam mendepani isu perubahan iklim dan kelestarian.
“UPSI sentiasa membuka ruang kerjasama dengan industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi memperluaskan impak program kelestarian.
“Pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak ini penting kerana agenda kelestarian bukan tanggungjawab universiti semata-mata,” ujarnya.
Md Amin berkata, UPSI amat komited dalam memastikan penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Peningkatan berkenaan adalah hasil penambahbaikan berterusan UPSI pada enam indikator utama penilaian UI GreenMetric, iaitu Infrastruktur Kampus, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan Kampus serta Pendidikan dan Penyelidikan Kelestarian.
“Melalui pelaksanaan Pelan Strategik UPSI 2021–2025, kita berjaya meningkatkan skor keseluruhan dengan ketara berbanding tahun sebelumnya serta menepati matlamat untuk menjadikan UPSI sebagai model amalan terbaik kelestarian dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara,” jelasnya.
Katanya, sejajar kejayaan menembusi kelompok 100 universiti paling lestari dunia, UPSI komited meneruskan agenda pembangunan rendah karbon.
“Kita akan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh pengumpulan data alam sekitar, menerapkan teknologi kampus pintar dan meningkatkan program pendidikan serta penyelidikan berimpak tinggi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


