LUMUT – Cadangan Kerajaan untuk memindahkan pengurusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan program matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) masih di peringkat awal dan memerlukan tempoh masa yang panjang sebelum dapat dilaksanakan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang antara lain mahu menyelaras program prauniversiti di bawah satu kementerian.
Menurutnya, cadangan tersebut melibatkan penstrukturan semula pengurusan Tingkatan Enam dan matrikulasi, yang akan ditempatkan sepenuhnya di bawah KPT sebaik RMK13 bermula pada tahun 2026.
“Perancangan ini memerlukan masa kerana ia tertakluk kepada proses pindaan akta sedia ada yang perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu.
“Selain itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meneliti aspek kesinambungan dan pelaksanaan peralihan daripada KPM ke KPT,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa Ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor dekat sini pada Khamis.
Zambry memaklumkan, proses tersebut dijangka mengambil beberapa tahun kerana pelaksanaannya meliputi keseluruhan tempoh lima tahun RMK13.
“Kita harapkan permulaan kajian dan penilaian keberkesanan cadangan ini dapat dimulakan seiring RMK13 namun, keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas laporan lengkap jawatankuasa diserahkan kepada kerajaan,” jelasnya.
Beliau turut mengulas kebimbangan segelintir pihak yang mendakwa pemindahan itu boleh menjejaskan hak atau kepentingan kaum tertentu.
“Saya fikir soal ini tidak seharusnya timbul kerana cadangan ini masih di peringkat awal, untuk membentuk jawatankuasa.
“Jadi, saya tidak nampak dari sudut mana dakwaan berhubung hak dan kepentingan kaum tertentu akan akan terpinggir berikutan dengan dengan pelaksanaannya,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan tetap mengambil perhatian terhadap pandangan yang dibangkitkan, namun menegaskan bahawa sebarang kesimpulan pada peringkat ini adalah terlalu awal kerana tiada keputusan muktamad dibuat.
“Kita tunggu dahulu laporan jawatankuasa nanti sebelum sebarang ulasan lanjut dibuat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan bercadang untuk memindahkan program STPM serta Matrikulasi daripada KPM ke bawah KPT bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan ke masukan pelajar ke peringkat universiti. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPT sedang pikat tenaga pengajar tempatan di luar negara kembali ke Malaysia


