IPOH – Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Academy (Oscar) Tan Sri Michelle Yeoh dijangka hadir bagi memeriahkan perarakan yang akan diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) pada 3 Januari tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, turut hadir bersama pelakon tersebut adalah suaminya yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari, Jean Todt serta penyanyi terkenal tanah air Faizal Tahir.
Menurutnya, perarakan itu juga adalah bersempena pelancaran projek ‘I Lite U’ iaitu inisiatif pencahayaan hiasan bandar yang dirangka bagi memperkukuh identiti malam hasil kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita akan buat majlis pelancaran pencahayaan Bukit Bintang yang saya yakin tidak kurang hebat jika dibandingkan dengan Ginza Street di Tokyo dan Orchard Road, Singapura.
“Pagi ini saya baru mendapat pengesahan The Oscar Award Best Actress, Tan Sri Michelle Yeoh akan hadir bersama dengan suami beliau.
“Majlis ini akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan disiarkan secara langsung menerusi RTM,“ katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Taman Canning di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perarakan yang julung kali diadakan itu akan melibatkan 20 kontinjen.
“Siapa yang berminat jumpa Abang Sado, bomba dan juga penyanyi terkenal Faizal Tahir, dijemput hadir bersama untuk menyambut TMM2026.
Sebelum ini, Nga dilaporkan berkata, KPKT akan melaksanakan Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar sempena TMM2026 di sekitar ibu negara khususnya Bukit Bintang sebagai destinasi pelancongan malam utama negara.
Beliau berkata, KPKT memulakan inisiatif itu dengan memberikan peruntukan khas RM2 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merancakkan pencahayaan di kawasan ibu kota khususnya Golden Triangle of Bukit Bintang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


