PASIR SALAK – Punten sejenis makanan tradisi masyarakat Jawa yang terkenal pada satu masa dahulu sebagai bekalan pesawah kerana sifatnya yang tahan lama menjadi inspirasi kepada penubuhan Punten N Coffee, sebuah kafe yang terletak di tepi bendang dekat Seberang Perak, Kampung Gajah di sini.
Kafe yang dibangunkan oleh Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd itu bukan sahaja menampilkan elemen warisan makanan tradisional, malah berperanan sebagai perniagaan hiliran industri padi yang memberi nilai tambah kepada sektor pertanian setempat.
Dengan konsep santai berlatarbelakangkan sawah padi, kafe tersebut turut menjadi tarikan penduduk tempatan dan pengunjung luar untuk menikmati hidangan tradisional dan kopi sambil menghidupkan kembali memori kehidupan masyarakat bendang dalam suasana moden.
Ketua Bahagian Pusat Benih Padi FELCRA Mohd Fikri Roslan berkata, kafe berkenaan diwujudkan sebagai usaha mempelbagaikan potensi ekonomi berasaskan padi dan beras.

Menurutnya, kafe di bawah subsidiari FELCRA Plantation Services Sdn Bhd itu mula beroperasi sejak Mei 2024.
“Punten N Coffee ini adalah sub-bisnes hiliran kepada perniagaan utama kami iaitu pengeluaran benih padi.
“Kami merupakan salah satu daripada 15 pengeluar benih padi yang dilantik oleh kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di sini.

Beliau menjelaskan, penubuhan perniagaan tersebut lahir daripada kesedaran bahawa sektor padi tidak hanya terhad kepada pertanian semata-mata, sebaliknya boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk perniagaan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
“Perniagaan baharu ini diwujudkan kerana kita melihat padi ini bukan semata-mata pertanian, tetapi kita boleh kembangkan kepada perniagaan lain untuk masyarakat.
“Jika kita lihat, konsep sebegini tular di Selangor, Kedah, dan Perak Utara. Bagaimanapun, di kawasan Perak Tengah ini belum banyak lagi.
“Tapak semaian lama yang tidak lagi digunakan telah dinaik taraf dan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai lokasi kafe dengan membeli kabin, mesin kopi untuk menghasilkan kopi sendiri,“ ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Fikri berkata, pembangunan awal kafe tersebut melibatkan kos RM90,000, selain menerima peruntukan RM180,000 daripada KPKM bagi menaik taraf kemudahan seperti gazebo, menara tinjau, pintu gerbang, dan lain-lain.
“Kawasan tersebut kini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bersantai khususnya pada waktu petang dan turut dikenali sebagai lokasi bergambar yang menarik.
“Dari segi menu, Punten N Coffee mengetengahkan hidangan tempatan serta produk hasil komuniti FELCRA antaranya punten, donut susu.
“Selain itu, kami turut menjual lempeng kelapa, soto, spageti, lasagna dan pelbagai jenis kopi termasuk kopi signature kami ialah PNC Coffee yang dicipta sendiri,“ katanya.

Katanya, kafe tersebut beroperasi setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 7 malam kecuali Isnin, dan selepas lebih setahun beroperasi, ia mencatat prestasi jualan yang memberangsangkan.
“Hampir setahun lebih beroperasi, jualan kami mencecah RM20,000 ke RM30,000 sebulan dengan anggaran 3,000 ke 4,000 pengunjung sebulan.
“Lokasinya tidak jauh dari pintu masuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) hanya kira-kira tiga kilometer, dari Ipoh sekitar 70 kilometer dan dari Selangor cuma 50 kilometer. Kedudukannya di tengah-tengah menjadikannya mudah diakses,“ ujarnya.

Melangkah ke hadapan, Mohd Fikri memaklumkan FELCRA merancang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat agro-edutourism bersepadu.
“Kami bercadang untuk menjadikan tempat ini sebagai pusat agro-edutourism dan merancang untuk membina astaka baharu dan pusat pengumpulan barangan peserta FELCRA. Selain itu, beberapa produk pelancongan pendidikan dan rekreasi turut dirancang.
“Masa depan juga mungkin ada Muzium Padi di bangunan hadapan itu. Di bahagian belakang pula, kami bercadang membangunkan sukan air seperti kenu, kayak, dan bot itik.
“Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri varieti padi yang ditanam di sekitar kawasan kafe. Jadi, sambil minum, pengunjung boleh melihat sendiri pelbagai varieti pokok padi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seni Artisan Market: Destinasi baharu pencinta seni, makanan, gaya hidup


