KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan selama beliau memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya.
Terdahulu, media yang memetik sumber dalaman Bersatu melaporkan Muhyiddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan di dalam kumpulan WhatApps Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Bagaimanapun, dakwanya, hasrat Muhyiddin itu dibantah sejumlah ahli-ahli MPT Bersatu yang meminta beliau menariknya semula.
Katanya, beberapa ahli MPT Bersatu turut berpandangan bahawa jalan peyelesaian terbaik kepada kemelut politik yang sedang melanda ketika ini adalah dengan Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN selaku pengasas Bersatu dan PN.
Sementara itu, tambah sumber dakwaan, memandangkan Pas berulang kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, beberapa ahli MPT Bersatu berpandangan adalah lebih baik parti itu meneruskan hasrat tersebut.
Malah, katanya, perkara itu turut mendapat sokongan dan persetujuan daripada sebahagian besar MPT Bersatu.
Bagaimanapun, tambah sumber berkenaan, melepasi tengah malam tadi, Muhyiddin memaklumkan beliau telah memuktamadkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan berharap Ahli-ahli MPT dapat menerima keputusan beliau.
Keputusan Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN itu juga memenuhi hasrat pemimpin Pas yang sebelum ini membuat kenyataan bersedia mengambil alih pimpinan PN susulan krisis politik yang berlaku di Perlis. – MalaysiaGazette


