KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barangan dan keperluan sekolah antara 20 hingga 33 peratus membuktikan harga akan terus meningkat pada kadar yang membimbangkan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dimansuhkan, selepas penggantian kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018, kata MCA.
Naib Presiden MCA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi & PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, insentif tunai seperti SARA RM100 sememangnya baik, namun ia bukan penyelesaian jangka panjang untuk menurunkan harga.
Selain subsidi menyeluruh, kerajaan juga seharusnya memberi tumpuan kepada subsidi input (seperti baja dan tenaga), yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran barangan keperluan asas, sekali gus membantu meringankan beban rakyat sebagai pengguna akhir.
Kerajaan juga boleh memperkenalkan skim geran dan pinjaman mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjual barangan asas pada harga lebih rendah, seperti di pasar tani, selain menyediakan program latihan perniagaan digital supaya mereka dapat menjual melalui platform e-dagang dengan kos yang lebih rendah.
“Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri telah mengakui bahawa GST merupakan sistem percukaian yang paling telus dan berkesan, serta mampu menyumbang kepada hasil negara.
“Namun begitu, mereka sentiasa mencari alasan untuk tidak melaksanakannya, semata-mata untuk menjaga air muka.
“Golongan ‘pakar’ dalam DAP seperti Tony Pua, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP lain, yang hanya tahu mengulang-ulang asas GST, terus bermain politik tanpa menawarkan sebarang penyelesaian.
“Mereka langsung tidak menghiraukan nasib rakyat biasa yang terpaksa menanggung beban inflasi dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, apabila persekitaran ekonomi berada dalam keadaan sihat, disertai aliran pelaburan ke sektor-sektor utama, manfaatnya pasti akan dinikmati oleh masyarakat.
Katanya, walaupun kenaikan harga tidak dapat dielakkan namun ia sepatutnya dapat diurus dengan lebih baik apabila pendapatan rakyat meningkat, kebajikan mereka terpelihara, dan ekonomi negara berjalan dengan lancar. -MalaysiaGazette


