IPOH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Bandar Baru Putra, Bercham minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki terbabit didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada bapanya, Suhaimi Dawi, 58, dan ibu, Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada jam 6.30 pagi, 26 Disember 2025.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
M Raveenaa dalam mitigasinya memohon supaya lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pihak polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra.
Siasatan mendapati, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku.
Semakan lanjut polis ke atas suspek turut mendapati, suspek pernah pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri dan mempunyai rekod kesihatan mental. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki amuk guna pedang samurai, cederakan dua ahli keluarga ditahan


