IPOH – Gangguan rantaian makanan termasuk penularan Demam Babi Afrika (ASF) yang menjejaskan populasi babi hutan dikenal pasti sebagai antara faktor kepada insiden konflik antara manusia dan harimau yang kerap dilaporkan akhir-akhir ini di Perak.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, keadaan tersebut telah mengakibatkan haiwan itu keluar dari habitat asal bagi mencari sumber makanan, sekali gus meningkatkan risiko kemunculan di kawasan yang didiami manusia.
“Kita akui ia bukan sesuatu yang mudah kerana harimau adalah haiwan liar dan mereka akan keluar mencari makanan apabila diperlukan.
“Apa yang penting sekarang ialah memastikan rantaian makanan mereka masih mencukupi. Ini sedang kita usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui mengadakan lawatan kerja dan perasmian Pusat Kelestarian Plastik (PSC) di kompleks beli-belah AEON BiG Falim, dekat sini, pada Sabtu.
Tambah Kok Lim, kerajaan negeri bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang mempergiat usaha menangani konflik tersebut melalui operasi tangkapan serta pemantauan.
“Buat masa ini, konflik itu diselesaikan dengan operasi tangkapan harimau yang memasuki kawasan perumahan atau pinggiran hutan.
“Mana-mana harimau yang berjaya ditangkap ditempatkan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) (Sungkai) untuk dijadikan induk,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, perkembangan berkenaan kehadiran harimau juga mencerminkan kejayaan usaha konservasi yang dilaksanakan sejak sedekad lalu, namun ia memerlukan kawalan rapi bagi mengelakkan risiko konflik berterusan antara manusia dan hidupan liar itu.
“Bilangan harimau memang ada meningkat. Ini merupakan satu usaha yang kita dah lakukan untuk 10 tahun yang lalu dan kini kita nampak sedikit hasil.
“Tetapi perkara ini tidak boleh diumumkan secara terperinci kerana kita bimbang menarik perhatian pemburu haram,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harimau kumbang baham anak lembu ditangkap


