TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukir kecemerlangan di pentas dunia selepas disenaraikan dalam penarafan ‘The World University Rankings 2026 : Education Studies’ di kedudukan 101-125 .
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, berdasarkan laporan terkini, UPSI berada di kedudukan 101 hingga 125 berbanding sebelum ini di kedudukan 126 hingga 150.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil usaha seluruh warga UPSI yang bekerja keras demi meningkatkan kualiti penyelidikan mencapai tahap berimpak tinggi, jaringan industri serta kolaborasi antarabangsa .
“Pencapaian ini semakin mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai universiti pendidikan terkemuka di Malaysia dan dunia malah menjadi pengiktirafan terhadap bidang pendidikan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi UPSI 2026 di Dewan Tuanku Canselor, di sini.
Dalam pada itu, Md Amin berkata, kejayaan itu dicapai atas kebekerkesanan terapan konsep BITARA ( Bijak Tanpa Tara) iaitu Bakat Unggul (B), Inovasi dan Penyelidikan (I), Transformasi Teknologi (T), Adab, Akhlak, Akademik (A), Revolusi Ekosistem(R) dan Adaptasi Global (A).
“Penarafan ini membuktikan keupayaan UPSI memenuhi kriteria utama mencakupi pengajaran serta menepati aspek kualiti persekitaran pembelajaran dan persekitaran penyelidikan yang dinilai aspek jumlah, pendapatan termasuk reputasi dalam penyelidikan.
“Saya juga sangat menghargai pengorbanan dan sokongan akademia serta kakitangan pentadbiran yang merancang dan melaksanakan pelbagai strategi dalam bidang pendidikan digital yang efektif mengikut perkembangan semasa.
“Selain itu, pencapaian ini selaras dengan fokus utama dalam bidang pendidikan,menjadikan UPSI melonjak sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pendidik berkualiti tinggi untuk berkhidmat di seluruh negara,” ujarnya.
Katanya, kejayaan tersebut selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk mengangkat nama negara dalam pendidikan tinggi Malaysia menjelang tahun 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


