IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) memperuntukan sejumlah RM2.1 juta bagi kerja-kerja baik pulih infrastruktur awam di negeri Perak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan kerja-kerja baik pulih pasar awam, taman rekreasi dan juga medan selera dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang serta sistem perparitan dan longkang di Parlimen Batu Gajah.
Katanya, peruntukan untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan awam itu sebagai usaha KPKT dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1 juta diperuntukan kepada Pasar Awam Jelapang serta RM450,000 untuk menambah baik infrastruktur di Taman Rekreasi MADANI Taman Pertama.
“Turut diperuntukan sebanyak RM428,000 Medan Selera MADANI di Taman Pertama, dan RM200,000 bagi menaik taraf sistem perparitan di Pusing, Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Tahun Baru Cina peringkat DUN Jelapang di Taman Rekreasi MADANI Taman Pertama, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian serta Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Tambah Kor Ming, kesemua projek yang diumumkan itu akan bermula secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.
“Malam ini kita datang dengan sentuhan kasih istimewa Kerajaan MADANI dengan RM2.1 juta diluluskan, dan kerja akan mula tahun ini, dan habis tahun ini juga.
“Ini kerana tahun ini (zodiak Tahun Baru Cina) adalah Tahun Kuda, oleh itu kuda harus berlari dengan cepat,” katanya berseloroh.
Ujar beliau lagi, KPKT akan terus memberi keutamaan kepada penyelenggaraan dan penaiktarafan kemudahan awam, khususnya yang melibatkan premis seperti pasar, taman rekreasi dan medan selera yang menjadi nadi komuniti setempat.

“Kemudahan awam yang selesa, bersih dan selamat bukan sahaja menyokong aktiviti ekonomi tempatan, malah memperkukuh kesejahteraan sosial serta imej bandar dan negara,” katanya.
Pada masa sama, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berharap agar rakyat dapat terus memberi sokongan kepada kepimpinan kerajaan sedia ada untuk terus menerajui pentadbiran negara dan negeri.
“Tanpa sokongan semua, tidak mungkin Kerajaan MADANI dapat mengemudi negara kita menuju ke arah yang betul iaitu ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.
“Semua ini jasa semua dan saya berharap jika ada pilihan raya tahun hadapan (atau pada bila-bila masa), kita semua akan terus berdiri teguh bersama dengan Kerajaan MADANI,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan:
KPKT salur RM20 juta kepada MBI, turap 400 jalan


