Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah pelengkap agenda Perak Sejahtera 2030

SUNGAI SIPUT – Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah menjadi sebahagian pelengkap agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diusahakan kerajaan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani dalam kerangka Perak Sejahtera 2030, keterjaminan makanan menjadi antara tumpuan utama dengan kerajaan negeri berhasrat rakyat mempunyai akses berterusan kepada sumber makanan mencukupi, berkualiti dan mampu milik agar kesejahteraan isi rumah dapat dipertahankan.

“Seiring dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri telah melancarkan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak bagi memperkukuh pembangunan sektor marin dan perikanan secara lebih terancang, lestari dan berimpak jangka panjang kepada ekonomi negeri.

“Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah ini melengkapkan agenda tersebut dengan menghubungkan hasil tangkapan terus kepada pengguna melalui sistem yang lebih tersusun dan telus, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kestabilan bekalan makanan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak di Arena Sungai Siput (U), di sini, pada Ahad.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Peluncuran Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah LKIM Perak di Arena Sungai Siput (U). Foto ABDULLAH YUSOF 15 FEBRUARI 2026.

Mengulas lanjut Saarani berkata, keupayaan menawarkan harga jualan ikan yang lebih rendah bukan berlaku secara kebetulan.

Jelas beliau, pada tahun 2024, jumlah pendaratan hasil perikanan di Negeri Perak mencecah 434,349.91 metrik tan, manakala pada tahun 2025 sebanyak 333,984.26 metrik tan, sekali gus meletakkan Perak antara negeri pengeluar utama negara.

“Kapasiti ini memberi kekuatan kepada negeri untuk menyusun pengedaran dengan lebih cekap dan selaras.

“Selain itu, dengan garis pantai sepanjang hampir 398 kilometer, 32 pulau kecil serta kawasan paya bakau yang luas, Perak memiliki potensi besar dalam sektor ekonomi marin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Peluncuran Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah LKIM Perak di Arena Sungai Siput (U). Foto ABDULLAH YUSOF 15 FEBRUARI 2026.

“Potensi ini perlu diurus dengan cermat supaya manfaatnya kembali kepada komuniti setempat dan pada masa yang sama kelestarian sumber terus dipelihara demi generasi akan datang,” katanya.

Tambah Saarani, apabila pengeluaran kukuh dan pengedaran diatur dengan baik, hasil tangkapan dapat sampai kepada pengguna dalam keadaan segar, dan nelayan pula mendapat pasaran yang lebih stabil serta berterusan.

Sementara itu, Saarani berkata, Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah akan dilaksanakan di kesemua 12 daerah di Negeri Perak dengan lima tapak kekal bagi setiap daerah sebagai lokasi utama jualan.

Beliau berkata, ia bermakna setiap daerah mempunyai titik tetap yang boleh dirujuk oleh rakyat untuk mendapatkan bekalan ikan segar secara konsisten.

Orang ramai menyerbu membeli ikan murah pada Majlis Peluncuran Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah LKIM Perak di Arena Sungai Siput (U). Foto ABDULLAH YUSOF 15 FEBRUARI 2026.

“Selain tapak kekal, jualan turut diadakan selepas solat Jumaat di masjid-masjid terpilih. Pendekatan ini amat dekat dengan komuniti kerana ia mengambil kira rutin mingguan masyarakat. Selesai menunaikan solat, mereka boleh terus mendapatkan bekalan tanpa perlu keluar jauh atau menanggung kos tambahan.

“Bagi memastikan capaian lebih luas, jualan bergerak melalui khemah, motosikal roda tiga dan lori akan dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di lokasi-lokasi terpilih,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhannya, lebih 1,000 siri jualan disasarkan sepanjang tahun 2026. Ini menunjukkan pelaksanaan program ini bukan bersifat sementara, tetapi dirancang secara berterusan dan konsisten sepanjang tahun.

“Seiring dengan pelaksanaan yang meluas ini, ikan dan hasil laut ditawarkan berdasarkan permintaan setempat dengan harga antara 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI