IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa berkunjung dan merasmikan Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak, di sini, pada Khamis.
Kehadiran beliau itu diiringi Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah serta Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak, Asmadi Teh.

Saarani yang tiba sekitar jam 4.30 petang itu meluangkan masa sekitar 30 minit meninjau dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung bazar.
Selain menyerahkan apron dan topi kepada peniaga, Menteri Besar Perak turut menyampaikan bekas makanan kepada pengunjung sebagai usaha kempen pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna.
Sementara itu PPPKM Cawangan Daerah Kinta menerusi satu kenyataan media memaklumkan, Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak menempatkan sebanyak 220 tapak niaga termasuk empat kendera saji.

Katanya, bazar berkenaan menawarkan pelbagai jenis pilihan juadah berbuka puasa yang memenuhı cıta rasa masyarakat pelbagai kaum khususnya di sekitar Ipoh.
“Bagi memastikan kelancaran operasi bazar Ramadan, pelbagai kemudahan telah disediakan antaranya khemah urus setia dengan petugas sepenuh masa, Surau Bergerak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).
“Turut disediakan perkhidmatan ambulans, sudut informasi yang memaparkan direktori peniaga dan pelan tapak, sudut ‘Kami Prihatin’ untuk golongan orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan warga emas.
“Di samping itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditempatkan bagi menambah baik kawalan keselamatan pengunjung di bazar Ramadan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran bazar Ramadan terbabit turut mendapat sokongan daripada Bank Islam selaku rakan strategik persatuan.
Sementara itu tinjauan di lokasi mendapati, orang ramai mula mengunjungi Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak sekitar jam 4.45 petang.

Meskipun cuaca panas, bazar Ramadan berkenaan turut menggamit kehadiran pengunjung daripada kalangan masyarakat bukan Islam.
Rata-rata pengunjung pula mengambil sikap berhemah dan berjimat cermat dalam membeli juadah berbuka puasa bagi mengelakkan berlaku pembaziran makanan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Persiapan bazar Ramadan lancar, peniaga bersedia sambut pengunjung esok


