SITIAWAN – Hari pertama Ramadan dicemari dengan insiden tiga tabung sumbangan di Masjid An-Nasriyah, Jalan Raja Omar, Simpang Empat di sini dipecahkan dua individu tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Masjid An-Nasriyah, Mohd Helmi Arifin berkata, kejadian yang berlaku pada awal pagi Khamis lalu disedari pegawai masjid yang datang untuk menunaikan solat Subuh di masjid tersebut.
Menurutnya, pegawai terbabit mendapati pintu kaca gelangsar masjid pecah dan tiga tabung di dalam ruang utama bangunan itu telah diumpil dan wang tidak sampai RM1,000 turut lesap.
“Memang selepas solat kawasan masjid sunyi dan pintu pagar semuanya bertutup rapat dan kami percaya insiden tersebut berlaku selepas malam pertama solat sunat Tarawih. Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya pada Jumaat.

Katanya, pihak masjid akan menggunakan khidmat pengawal keselamatan untuk mengawal keselamatan di bangunan berkenaan bagi mengelakkan kejadian berulang.
Tambahnya, polis juga telah menjalankan siasatan dan jawatankuasa masjid menyerahkan sepenuhnya kepada mereka untuk mengambil tindakan lanjut.
Beliau berkata, kejadian itu tidak mengganggu aktiviti masjid seperti dirancang sebelum ini sepanjang Ramadan termasuk program Ihya Ramadan.
Terdahulu, tular di platform media sosial video dan beberapa gambar yang memperlihatkan dua individu memecahkan tabung masjid berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Sumbangan jangan dibiar kaku dalam tabung masjid’ – Khutbah Jumaat Perak


