Tokoh kewangan Islam, Daud Bakar didakwa bersubahat urus sekuriti tanpa lesen

KUALA LUMPUR – Tokoh kewangan Islam Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

“Faham, saya mohon dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Daud didakwa sebagai wakil syarikat Energy Eco Berhad bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT,  yang menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti, sedangkan AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan bukan juga individu berdaftar bagi aktiviti terkawal berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023 di C6-1, Jalan Reef 1/2, Pusat Perniagaan Reef, Rawang dalam Daerah Gombak, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama Perenggan 370 (c) dan Subseksyen 367(1) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta berkenaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Shoba Venu Gobal mencadangkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Ini merupakan kesalahan serius yang berkaitan dengan bersubahat. Tertuduh merupakan wakil (syarikat) Energy Eco Berhad ketika kejadian,” katanya.

Peguam Mohd Haziq Razali yang mewakili Mohd Daud memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dan tidak membantah syarat tambahan ditetapkan pendakwaan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan bermula pada 2024.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Daud diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI