KUALA KANGSAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai mesin dan peralatan yang digunakan untuk memproses dan menghasilkan perabot bernilai RM734,990 menerusi Op Bersepadu Khazanah di sebuah kilang perabot di sini pada Isnin.
Serbuan jam 10.30 pagi itu diaksanakan dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.
Seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, premis yang beroperasi di kawasan perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Meil itu disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembuatan perabot tanpa lesen.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut mendapati pemilik gagal mengemukakan permit atau lesen untuk mendirikan dan mengendalikan kilang perabot sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak.
“Siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak awal tahun 2025 tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak berkuasa.
“Semakan lanjut turut mendapati pemilik premis pernah diberikan dua notis peringatan untuk memohon lesen oleh Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar namun gagal mematuhi arahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar dan siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Pihak MPKK juga telah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik premis atas kesalahan tiada papan tanda iklan perniagaan dan tidak mempunyai lesen perniagaan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PGA rampas kambing, lembu seludup bernilai lebih RM600,000 di Gerik


