TAIPING – Sebuah pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya di sini petang tadi susulan kejadian ribut dan pokok tumbang yang melanda di kawasan Taman Damai pada Selasa.
Jawatankuasa Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 4.07 petang dan sebanyak 16 kes pokok tumbang dilaporkan di sekitar kawasan terjejas.
Menurutnya, terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan pada hari ini.
“Sehubungan itu, saya mengisytiharkan pembukaan PPS di Dewan Serbaguna Taman Kaya mulai hari ini 24 Februari jam 6.30 petang.
“Kerjasama serta komitmen semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amatlah diharapkan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa yang terjejas di kawasan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, setakat jam 8.10 malam tadi seramai 92 mangsa yang telah menyalurkan maklumat kepada Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, antara lokasi yang terkesan adalah Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 ½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai,Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana dan Jalan Simpang.
“Antara kerosakan yang dialami penduduk termasuklah, rumah ditimpa pokok, bumbung rumah diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuhdan khemah bazar Ramadan patah.
“Selain itu, mangsa turut memaklumkan terdapat beberapa kerosakan berlaku seperti bumbung kaki lima serta pagar kubur di Masjid Pengkalan Aur runtuh, bumbung surau Taman Pengkalan Indah tercabut dan kereta ditimpa garaj,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak teliti punca banjir, fokus bantuan dan pencegahan jangka panjang


