IPOH – Bantuan bulanan yang disalurkan kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan bukan bertujuan untuk membasmi kemiskinan kumpulan sasar yang memerlukan secara ‘total’ atau penuh.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebaliknya ia bertujuan menampung ketidakcukupan perbelanjaan asas mereka.
Beliau berkata, justeru itu pelbagai usaha pengupayaan telah dan akan digerakkan agar menjadi dorongan kepada mereka dari kelompok eKasih dapat keluar dari kepompong kemiskinan.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan jabatan dan agensi persekutuan dalam memastikan segala pakej bantuan yang ditawarkan persekutuan dapat dinikmati secara optimum kepada golongan sasar di negeri ini.
“Mengambil contoh kepada bantuan-bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), senarai nama eKasih ini turut dijadikan sebagai salah satu rujukan utama dalam pemberian bantuan agar mereka ni tidak tercicir dan dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Tambahnya, Perak sedang merangka Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan yang komprehensif supaya ia selari dengan matlamat dan hasrat kerajaan bagi mengenal pasti isu serta permasalahan di setiap daerah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, kerajaan negeri melalui agensi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan pelbagai agensi di bawah Kementerian KUSKOP, sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program berfokus untuk membangunkan serta mempromosikan produk-produk tempatan.
Menurut beliau, antaranya adalah Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2023 yang telah selesai dilaksanakan di 10 daerah dalam negeri ini.
Katanya, program berkenaan bertujuan mengumpulkan jabatan dan agensi berkaitan usahawan untuk memudahkan bakal usahawan serta usahawan sedia ada untuk mengumpul maklumat atau memohon geran daripada kerajaan negeri.
“Disamping itu, kerajaan negeri turut melaksanakan kerjasama rentas portfolio bersama Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO melalui program E Jualan Wanita (e-JUWITA) yang dijalankan di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) meliputi 24 Parlimen dalam Perak.
“Program ini menyasarkan seramai 720 orang peserta wanita yang akan menjalani kursus penjenamaan, pembungkusan, media sosial, pembuatan kandungan, dan penjenamaan untuk mempromosikan produk tempatan dalam platform eDagang contohnya di Shoppee, Lazada serta AgroBazar Online,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: