TAPAH – Seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan sebuah lori tiga tan di Taman Air Kuning 2 di sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.14 petang.
Katanya, sejurus selepas itu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan dua mangsa dalam sebuah kereta dengan sebuah lori yang berusia 30 tahun.
“Salah seorang mangsa yang berusia 40 tahun dalam kereta terbabit telah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat cedera parah.
“Seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta berusia 38 tahun didapati tersepit di tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas penyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diletakkan di atas pengusung sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan KKM yang mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
Sabarodzi berkata, operasi turut melibatkan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan pengguna jalan raya lain.
Operasi yanhy diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Nurul Hazlin Loon itu tamat pada jam 4.30 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


