KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia serta para veteran yang telah menabur bakti kepada negara.
Titah tersebut dizahirkan bersempena sambutan ulang tahun penubuhan Tentera Darat Malaysia, yang menjadi antara tonggak utama dalam sistem pertahanan negara sejak sekian lama.
“Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa serta pengorbanan seluruh warga tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan memelihara keamanan negara,” menurut hantaran itu.
Ucapan itu dizahirkan menerusi hantaran di laman media sosial rasmi Seri Paduka Baginda di X dan Facebook hari ini, bersempena ulang tahun penubuhan pasukan keselamatan darat berkenaan.
Menurut baginda, komitmen serta kesetiaan yang ditunjukkan anggota tentera darat sepanjang perkhidmatan mereka menjadi benteng kukuh kepada kestabilan dan keselamatan Malaysia.
Sultan Ibrahim bertitah, nilai integriti hendaklah terus menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga pasukan itu, selain berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan negara kekal aman dan berdaulat.
“Al-Fatihah buat para anggota serta veteran yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda turut menzahirkan doa agar seluruh anggota yang sedang berkhidmat sentiasa dilindungi dan diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah yang dipikul.
Sambutan Hari Tentera Darat ke-93 bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan pasukan itu, malah menjadi medan memperbaharui iltizam untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan dan disiplin dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Pengiktirafan dan penghargaan yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap peranan strategik Tentera Darat Malaysia sebagai benteng pertahanan utama negara. – MalaysiaGazette


