TANJUNG MALIM – Kemalangan jalan raya membabitkan beberapa kenderaan termasuk lori dan bas telah mengakibatkan kesesakan trafik sejauh empat kilometer di Kilometer 378.0 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Behrang ke Slim River, pada Selasa.
Menerusi maklumat awal daripada aplikasi X, Plustrafik memaklumkan, nahas yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu telah menyebabkan semua lorong terhalang.
Justeru katanya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan keluar di Plaza Tol Behrang bagi mengelakkan kesesakan trafik yang lebih teruk.
Bagaimanapun status terkini setakat jam 5.52 petang, Plustrafik memberitahu, lorong kanan telah dibuka namun keadaan trafik masih perlahan.
“Lorong kanan telah dibuka kepada trafik manakala lorong kiri, lorong tengah masih ditutup bagi kerja pengalihan,” tulis hantaran itu.
Sementara itu menerusi video tular di media sosial yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan sekurang-kurangnya enam kenderaan berat dipercayai terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Menerusi video berdurasi 57 saat itu, antara kenderaan yang terlibat ialah beberapa lori termasuk sebuah lori yang dilihat melintang di tengah laluan selain sebuah lagi lori yang terbabas ke bahu kiri jalan.
Turut kelihatan dalam rakaman berkenaan ialah sebuah van dan sebuah bas yang dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya sama.
Situasi itu menyebabkan laluan arah utara terhalang sepenuhnya dan trafik terhenti. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Terowong Menora ke Kuala Kangsar sesak tujuh kilometer akibat kemalangan


