BERUAS – Seorang pemandu lelaki maut selepas kereta yang dibawanya terbabas sebelum terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat di laluan Pekan Ayer Tawar, di sini, pada awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas jalan raya itu pada jam 5.05 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai telah terbabas lalu terbalik. Terdapat dua mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an yang cedera dan tidak sedarkan diri.
“Seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar daripada kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, dalam operasi, anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta terbabit sebelum berjaya dikeluarkan dan dibawa menggunakan pengusung.
“Bagaimanapun, lelaki yang tersepit berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi,” ujarnya.
Sabarodzi berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, sementara seorang lagi mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Raja Mohamad Hisyamudin itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas tiga lori: Pemandu lori muatan beras maut, tiga lagi cedera


