LENGGONG – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di laluan sebelum Padang Grus, di sini, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta SUV jenis Toyota Unser iaitu lelaki tempatan berusia 40 tahun cedera, sementara pemandu kereta Nissan Navara didapati tiada di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan nahas jalan raya itu pada jam 5.47 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong yang diatur gerak ke lokasi kejadian mendapati terdapat dua mangsa tersepit dan tidak sedarkan diri dalam sebuah SUV.
“Pemandu kereta Toyota Unser, seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan iaitu patah pada bahagian bahu.
“Sementara penumpang, seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 23 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Sabarodzi berkata, pasukan bomba melaksanakan penilaian awal atau ‘size-up’ sebelum mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
“Operasi penyelamatan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan SUV terbabit menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung.
“Setelah mangsa berjaya dibawa keluar, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan KKM sebelum dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans bagi menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, mangsa yang disahkan meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sabarodzi berkata, di samping itu pasukan bomba juga melaksanakan kerja-kerja pembersihan jalan bagi mengalihkan serpihan kenderaan yang bertaburan di atas jalan raya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Idris Ibrahim yang melibatkan lima anggota itu tamat pada jam 8.02 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan


