PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim diperintah membayar kos RM50,000 kepada Muhammed Yusoff Rawther selepas menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan berhubung saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara memerintahkan Perdana Menteri membayarnya dalam tempoh sebulan waktu bekerja sehingga pukul 5 petang, 6 April ini.
Sehubungan tu, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membatalkan rayuan Anwar.
Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.
Ekoran rayuan ditarik balik, perbicaraan kes saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar akan diteruskan pendengarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala pengurusan kes ditetapkan pada 8 April ini.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff memaklumkan kepada pihak media, perbicaraan itu dijadual didengar di hadapan hakim baharu, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Ketika membuat perintah berkaitan kos, Hakim Kian Kheong berkata, terdapat dua permohonan interlokutori iaitu yang pertama berkaitan penggantungan bicara di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Ujarnya, permohonan kedua, Perdana Menteri selaku perayu memohon memfailkan rekod rayuan tambahan selain rayuan tersebut melibatkan lapan persoalan perlembagaan yang berkepentingan awam.
“Persoalan-persoalan ini yang berkaitan kekebalan Perdana Menteri, merupakan persoalan penting. Hujahan bertulis yang lengkap juga telah difailkan oleh peguam responden. Selain itu, terdapat juga enam pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan,” katanya.
Terdahulu, peguam Sanjay Mohan yang mewakili Perdana Menteri memaklumkan, anak guamnya menarik balik rayuan tersebut yang sepatutnya didengar hari ini.
Berikutan perkembangan tersebut, Muhammad Rafique memohon kos RM150,000 dan ia dijelaskan serta merta manakala Sanjay Mohan mencadangkan kos berjumlah RM15,000.
Menurut Muhammad Rafique, prosiding rayuan itu melibatkan beberapa kali penukaran peguam manakala beberap hari sebelum arahan supaya memfailkan hujahan bertulis, pihak perayu memaklumkan untuk menarik balik rayuan.
“Ada corak yang konsisten menunjukkan berlaku pembaziran masa dan kos mahkamah. Kes ini sepatutnya dibicarakan dalam pendengaran penuh pada Jun tahun lalu, namun ditangguhkan untuk tempoh hampir sembilan bulan.
“Tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan namun kami telah memfailkan hujahan bertulis di Mahkamah Rayuan.
“Di mahkamah ini, terdapat dua permohonan iaitu untuk menggantung prosiding dan permohonan untuk memfailkan rekod rayuan tambahan di luar masa.
“Saya memohon mahkamah mengambil kira bahawa rayuan ini melibatkan lapan persoalan perlembagaan berkepentingan awam, jadi mahkamah ini perlu menghantar mesej yang jelas supaya masa dan kos tidak dibazirkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 21 Julai tahun lalu membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan semua prosiding berkaitan kes saman sivil yang difailkan terhadapnya oleh Muhammed Yusoff.
Kes membabitkan dakwaan insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 16 Jun tahun lalu, namun telah diberikan penangguhan interim sebelum ini.
Rayuan hari ini bertitik tolak daripada keputusan Mahkamah Tinggi ada 4 Jun tahun lalu yang menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran merujuk lapan persoalan undang-undang, ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan beliau daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.
“Persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” ujar beliau yang turut menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan. – MalaysiaGazette


