BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau tidak mengenali serta mengetahui individu bernama Isham Jalil.
“Saya tidak kenal dia dan saya tidak pernah tahu dia,” jawab Ahmad Zahid secara ringkas.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian selepas ditanya pemberita berkenaan kenyataan Isham yang juga Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO agar Ahmad Zahid menurunkan ego dengan berjumpa dan meminta maaf kepada pemimpin parti itu yang dipecat atau digantung.
Isham berkata, ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan berbanding meminta pemimpin terlibat `menghadapnya’ ketika beliau kini dilihat terdesak dan kecewa kerana UMNO kehilangan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU).
Ahmad Zahid berkata, seperti dalam kenyataan beliau mengenai ‘Rumah Bangsa’ sebelum ini, UMNO bersedia menerima sesiapa sahaja dipecat atau digantung atau lari daripada perjuangan atau yang belum berkesempatan untuk menyertai UMNO untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun berkata, ia mungkin berkecuali bagi individu yang tidak dikenali beliau atau yang ‘keras kepala’.
“Kita terima sesiapa sahaja, kecuali mungkin orang yang saya tidak kenal yang kepalanya masih keras.
“Dan saya bagi peluang untuk beliau, kalau beliau berada di dalam situasinya, saya harap beliau berjaya dengan misi dengan ‘keras kepala’ dia ini,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid hadir pada Program Ihya Ramadan Al- Mubarak Tahun 2026 Sumbangan Kepada Asnaf Parlimen Bagan Datuk, Ketua Isi Rumah – Lelaki, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (DUN) Rungkup dengan Kerjasama Felcra Berhad di Dewan Dato Lope Hashim, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Pada majlis itu, seramai 1,584 penerima dari kategori ketua isi rumah lelaki, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya dengan peruntukkan berjumlah RM246,800. -MG Perak


