USAHA menyelamatkan lebihan makanan di bazar Ramadan dilihat selari dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menekankan kesejahteraan rakyat, kelestarian sumber dan pengurusan makanan secara lebih bertanggungjawab.
Inisiatif seperti MySaveFood (MSF) yang kini dijenamakan semula sebagai Ihsan Food Bank (i-FB) bukan sekadar program bermusim malah menjadi mekanisme penting dalam menangani isu pembaziran makanan yang lazim berlaku khususnya di bazar Ramadan.
Setakat ini sebanyak 688.654 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan di lima bazar Ramadan sekitar Ipoh bagi tempoh 19 Februari hingga 1 Mac lalu.
Makanan yang masih elok dan selamat dimakan itu dikumpul sebelum diagihkan kepada golongan yang berkeperluan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, usaha tersebut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama secara aktif dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan peniaga untuk mengumpulkan makanan yang masih sesuai untuk dimakan sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, program yang masuk tahun ketiga itu sentiasa ditambah baik mengikut keadaan semasa.
“Mereka yang terlibat dalam melaksanakan usaha ini dari semasa ke semasa meluaskan kawasan serta menambah tenaga kerja bagi memperkukuhkan kerjasama dengan peniaga.
“Setiap tahun, isu lebihan makanan yang tidak habis dijual dan kebiasaannya tidak lagi sesuai untuk dijual pada keesokan hari sering berlaku pada bulan Ramadan.
“Justeru, melalui inisiatif ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah makanan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pelaksanaan program itu melibatkan 15 bazar di seluruh Perak termasuk lima bazar di Ipoh iaitu di Stadium Perak, Taman Cempaka, Taman Perpaduan, Bazar Silibin Utara dan Bazar Medan Gopeng.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak, Datuk Kamalludin berkata, program tersebut diteruskan pada tahun ini dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak serta membabitkan penyertaan mahasiswa dan NGO.
“Tahun lalu program itu dilaksanakan di 15 bazar Ramadan seluruh Perak dan lebihan makanan yang berjaya diselamatkan adalah sebanyak 6,324 kilogram dengan anggaran nilai RM80,325 yang memberi manfaat kepada lebih 500 penerima termasuk pelajar, penghuni rumah kebajikan dan anak yatim,” ujarnya.
Katanya, pelaksanaan i-FB memberi tumpuan kepada konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, sekali gus memperkukuhkan usaha menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Secara lebih luas, inisiatif menyelamatkan makanan ini turut dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa lokasi di Perak dengan kerjasama NGO bagi memastikan lebihan makanan di bazar Ramadan dapat diuruskan secara lebih sistematik.

Langkah tersebut mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam pengurusan lebihan makanan, khususnya ketika Ramadan yang sering menyaksikan peningkatan pengeluaran makanan di bazar seluruh negeri.
Dalam konteks pembangunan negeri, usaha mengurangkan pembaziran makanan ini turut menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memfokuskan kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif.
Program seperti ini membantu memastikan sumber makanan dimanfaatkan secara optimum, selain menyumbang kepada keselamatan makanan dan kesejahteraan masyarakat.
Melalui pengumpulan dan pengagihan lebihan makanan yang masih selamat dimakan, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan jumlah makanan yang berakhir sebagai sisa, malah memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Selamat tinggal‘ plastik sekali guna, tekad Perak demi kelestarian alam


