IPOH – Sebuah kilang yang dipercayai terlibat dalam memproses bahan mineral jenis kaolin secara haram tanpa sebarang kelulusan dari pihak berkuasa diserbu dalam Op Bersepadu Khazanah di Tanjung Rambutan, di sini semalam.
Operasi itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, seramai enam orang termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
Menurutnya, tangkapan itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengarah syarikat, tiga lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pekerja di kilang berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang haram ini telah beroperasi semenjak satu tahun yang lalu dan pemeriksaan ke atas premis telah menemui sejumlah besar kuantiti tanah bewarna putih atau dikenali sebagai kaolin yang sedang diproses, beberapa jenis mesin dan jentera yang digunapakai untuk pemprosesan.
“Modus operandi yang digunakan adalah kilang ini akan membeli tanah putih campuran yang diperoleh dari kawasan kuari kaolin dan diproses dengan cara menapis, mencuci dan memampatkan serta mengasingkan tanah mineral itu kepada pasir dan kaolin tulen bertujuan untuk meningkatkan kualitinya.
“Kemudian, apabila selesai proses tersebut kaolin yang telah menjadi gred yang tinggi ini akan dijual dengan harga yang lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil serbuan itu di dalam premis berkenaan turut menjumpai pelbagai jentera serta kaolin seberat 45,000 tan dengan nilai rampasan berjumlah RM6,265,000.

“Kes untuk kesalahan memproses bahan mineral secara haram ini disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 3 tahun, atau kedua-duanya.
“Seorang lelaki warganegara tempatan yang merupakan pengarah syarikat disiasat dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dua orang pekerja warga asing di kilang tersebut disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan dirimanakala tiga orang pekerja asing disiasat dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas ditetapkan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang perabot tanpa lesen tumpas, PGA rampas mesin hampir RM735,000


