Kilang proses quartz haram digempur, rampasan RM5.16 juta

SUNGAI SIPUT – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,000 tan longgokan mineral quartz (tanah putih), 660 beg jumbo quartz yang telah diproses, pelbagai jenis mesin serta jentera dianggarkan bernilai RM5.16 juta menerusi Op Bersepadu Khazanah di sebuah kilang disyaki beroperasi secara haram, di sini semalam.

Operasi itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Cawangan Risik Batalion 3 Briged Utara dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, seramai lima orang ditahan melibatkan seorang warga tempatan dipercayai pengurus tapak berusia 40-an dan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 35 hingga 43 tahun disyaki pekerja kilang berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di kilang berkenaan telah menemui sejumlah besar quartz yang sedang diproses serta pelbagai mesin dan jentera yang digunakan untuk tujuan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang haram ini telah beroperasi sejak setahun lalu dan semua tangkapan serta rampasan dibuat di lokasi terbabit.

“Modus operandi kilang haram ini adalah dengan membeli tanah putih campuran yang diperoleh dari kawasan kuari sebelum diproses melalui kaedah menapis, mencuci, memampatkan dan mengasingkan mineral bagi meningkatkan kualitinya.

“Setelah selesai, mineral quartz yang telah mencapai gred tinggi dijual pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesalahan memproses bahan mineral secara haram ini sedang disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 serta Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pengurus tapak turut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI), dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang diambil.

“Sementara itu, empat pekerja warga asing di kilang tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sehingga enam kali sebatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PGA serbu kilang kaolin haram, rampasan cecah RM6.2 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI