IPOH – Sebanyak 83 peratus atau 236 daripada 285 aduan yang disalurkan menerusi Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Pertama 2026 telah berjaya diselesaikan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sementara baki 49 atau 17 peratus aduan yang terkumpul masih dalam proses tindakan lanjut.
Katanya, penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri pada siri kedua terus mendapat sambutan apabila sebanyak 175 aduan direkodkan.

“Program Hari Bertemu Pelanggan kali ini melibatkan sebanyak 96 kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta satu kaunter bergerak.
“Setiap daripada mereka yang hadir telah kita salurkan ke kaunter-kaunter yang sepatutnya, dan ada orang juga datang harus berurusan lebih daripada satu kaunter (berdasarkan aduan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kedua Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurut beliau, program berkenaan turut menampilkan pengisian tambahan seperti Jualan Murah oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
Saarani berkata, turut diadakan program Jualan Rahmah oleh pasar raya Mydin dan Berkat Jaya, serta jualan kuih raya oleh enam usahawan berdaftar di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP).

“Ia diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan serta persiapan perayaan pada harga yang lebih murah dan berpatutan, sekali gus membantu meringankan kos perbelanjaan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu Saarani berkata, beliau turut merasmikan sebuah Van Perpustakaan Digital milik Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, penggunaan van tersebut untuk menggantikan bas perpustakaan sebelum ini bagi membolehkan perkhidmatan berkenaan diperluaskan ke kawasan pedalaman.

Kata Saarani lagi, inisiatif tersebut turut mampu memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli yang tinggal di kawasan yang masih boleh diakses melalui jalan darat seperti di Sungai Siput, Kampar dan Tanjung Malim.
“Sebelum ini kita ada bas perpustakaan, tetapi bas ini tidak boleh masuk ke kawasan pedalaman atau kampung terpencil atas beberapa faktor termasuk yang jalan yang sempit.
“Oleh itu, Van Perpustakaan Digital ini merupakan inisiatif bagi membawa perkhidmatan perpustakaan secara bergerak kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar atau kawasan yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan perpustakaan.
“Dengan konsep ‘Ilmu di Hujung Jari, Menghubungkan Komuniti’, van ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran bergerak yang menggabungkan bahan bacaan, teknologi digital dan aktiviti pendidikan interaktif,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
720 aduan berjaya diselesaikan, HBP diteruskan tahun hadapan


