IPOH – Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) bersama Wanita Inspirasi Negeri Perak (WINP) Perak terus menggerakkan kolaborasi bersama pelbagai agensi bagi memastikan bantuan kebajikan dapat disalurkan kepada lebih ramai golongan memerlukan.
Pengarah Wanita Perak, Jamilah Zakaria berkata, melalui kerjasama itu, program Deko Raya telah dilaksanakan bagi membantu menceriakan kediaman golongan sasaran selain menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penerima yang layak.
Menurutnya, usaha bersepadu itu turut melibatkan sumbangan daripada beberapa agensi kerajaan serta beberapa syarikat yang menaja program berkenaan.
“Wanita Perak dan WINP akan sentiasa menggerakkan kolaborasi ini kerana tanpa sokongan daripada agensi-agensi lain, mustahil kita dapat turun ke bawah untuk menyantuni ramai golongan memerlukan.

“Alhamdulillah hari ini dua buah rumah dapat disiapkan, didekokan untuk sambutan Hari Raya dan kita juga dapat memberikan bantuan melalui sumbangan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan juga beberapa syarikat yang sudi untuk menaja program ini.
“Walaupun program ini kecil tetapi ia memberi sentuhan yang berbeza disebabkan kita melibatkan agensi yang pelbagai, jadi kerjasama erat ini amat diperlukan untuk memastikan Perak Sejahtera 2030 akan terus dapat kita capai di bawah portfolio Datuk Salbiah Mohamed,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Transformasi Kasih Wanita Perak Tahun 2026 di Dewan Komuniti Taman Kledang Jaya, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Jamilah berkata, inisiatif ini telah dilaksanakan oleh Salbiah namun penganjuran melibatkan WINP adalah untuk kali pertama.

“Sebenarnya Datuk Salbiah sentiasa buat program ini setiap tahun, tetapi dia kecilkan kepada lokasi-lokasi yang berkaitan sahaja.
“Tapi apabila kita sudah ada WINP, mereka boleh membantu untuk meluaskan lagi platform kebajikan kepada masyarakat ini melalui sentuhan Deko Raya yang turut dibantu sukarelawan dari Kolej Komuniti dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh.
“Selain itu, program ini dapat menyantuni lebih ramai lagi terutamanya warga emas dan juga wanita-wanita ibu tunggal ketua isi rumah yang memerlukan sedikit sokongan daripada komuniti,” ujarnya.
Pada program itu, seramai 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf sekitar Ipoh turut menerima bantuan bakul makanan.

Sementara itu, salah seorang penerima bakul makanan, Norkiah Jaafar, 70, dari Kampung Sungai Kati, Manjoi bersyukur kerana buat pertama kali terpilih menerima bantuan tersebut.
“Makcik rasa bertuah dan seronok kerana terpilih menerima bantuan ini. Alhamdulillah, dekat Raya ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban makcik,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


