PEMERKASAAN wanita menjadi sebahagian daripada pembangunan modal insan dan peluasan peluang ekonomi yang inklusif di mana golongan berkenaan dilihat sebagai rakan strategik dalam memastikan setiap perancangan pembangunan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti.
Maka tidak hairanlah golongan wanita juga menjadi antara agenda penting Kerajaan Negeri Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 di mana pembangunan negeri dirangka dengan menitikberatkan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta kesejahteraan sosial yang menyeluruh.
Sejarah Islam sendiri membuktikan bahawa wanita memainkan peranan penting sejak zaman Rasulullah S.A.W. Saidatina Khadijah Khuwailid bukan sahaja seorang usahawan yang berjaya, malah menjadi pendukung terawal dakwah baginda dari segi kewangan dan kekuatan jiwa.
Manakala Saidatina Aisyah Abu Bakar pula muncul sebagai tokoh ilmuwan yang menjadi rujukan umat. Ribuan hadis diriwayatkan melalui beliau, dan kefahaman beliau dalam pelbagai bidang ilmu menjadikan beliau antara rujukan utama dalam pembentukan hukum dan kefahaman agama.

Teladan ini memperlihatkan bahawa wanita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pembangunan umat dan pembinaan masyarakat berilmu dan semangat itu diteruskan hingga ke hari ini.
Buktinya, wanita di Negeri Perak memimpin jabatan, menerajui agensi dan menyumbang dalam sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi serta pentadbiran awam.
Golongan wanita bukan sahaja pelaksana dasar, malah turut terlibat dalam proses perancangan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita Negeri Perak 2026 berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan pentadbiran negeri dan menerajui agensi berkaitan kerajaan mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan mereka membuat keputusan yang strategik dan berintegriti.
Beliau berkata, perubahan itu dapat dilihat dengan jelas dalam struktur kepimpinan hari ini di mana setakat Disember 2025, wanita mengisi 39.4 peratus jawatan pengurusan tertinggi dalam sektor awam.

“Di peringkat korporat pula, 30.7 peratus pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam teratas terdiri daripada wanita, sekali gus melepasi sasaran 30 peratus yang ditetapkan menjelang 2030.
“Perangkaan ini menunjukkan bahawa kepimpinan wanita bukan lagi pengecualian, tetapi semakin menjadi norma dalam pentadbiran dan dunia perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, dalam struktur pengurusan tertinggi, wanita mewakili 57 peratus jawatan Ketua Pegawai Sumber Manusia dan 36 peratus Ketua Pegawai Pemasaran.
Katanya lagi, meskipun 16.3 peratus wanita memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, trend peningkatan ini menunjukkan hala tuju yang positif serta membuka ruang lebih luas kepada bakat kepimpinan wanita.
“Angka-angka ini mencerminkan perubahan sikap dan penerimaan terhadap kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor.
“Perkembangan ini menuntut usaha berterusan untuk memperkukuh latihan kepimpinan, memperluas pendedahan kepada sektor strategik dan memastikan sokongan institusi yang konsisten agar lebih ramai wanita mampu menerajui sektor korporat, pentadbiran dan politik, termasuk dalam bidang berteraskan TVET dan teknologi tinggi,” katanya.

Salbiah berkata, Kerajaaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sentiasa memantau peranan wanita di negeri ini ekoran sebahagian golongan itu berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks.
Jelas beliau, tekanan kos sara hidup, tanggungjawab berganda dalam keluarga serta tuntutan kerjaya memerlukan ketahanan fizikal dan emosi yang tinggi.
“Ada yang membesarkan anak sebagai ibu tunggal, ada yang menjaga ibu bapa yang uzur, dan ada juga yang berusaha menyeimbangkan peranan sebagai pekerja serta pengurus rumah tangga.
“Realiti ini menuntut keprihatinan bersama agar wanita tidak dibiarkan menghadapi cabaran secara bersendirian,” katanya.

Justeru itu, kestabilan institusi keluarga kekal sebagai asas kepada kesejahteraan negeri dengan wanita memainkan peranan penting dalam memastikan nilai empati, disiplin dan tanggungjawab terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.
Pendidikan di rumah melengkapi pendidikan formal dan membentuk sahsiah yang kukuh, sekali gus menyediakan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Oleh itu, usaha memperkasa wanita memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Jaringan sokongan yang mantap akan memastikan wanita terus diberi ruang untuk berkembang dan menyumbang secara optimum dalam semua lapangan kehidupan. -MG Perak


