SEKPUR gesa PDRM, MCMC siasat dakwaan tular TikTok sentuh institusi diraja, PM

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penyebaran satu video tular di platform TikTok mengandungi dakwaan serius berkaitan Institusi Diraja serta kepimpinan negara.

Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata, satu laporan polis dibuat susulan penularan kandungan disebarkan menerusi akaun TikTok dikenali sebagai “SHAFIQ Inspirasi”, didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah, provokasi dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.

Menurut beliau, video berkenaan mendakwa individu bernama Raja Azman Raja Petra akan membuat Akuan Berkanun (SD) berhubung dakwaan menerima bayaran daripada individu tertentu yang dikaitkan dengan kepimpinan negara bagi tujuan menyerang institusi diraja.

“Dakwaan seperti ini amat serius kerana bukan sahaja melibatkan reputasi kepimpinan negara, malah turut menyentuh sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahbudin berkata, pihaknya memandang serius penyebaran naratif tersebut yang dipercayai mempunyai unsur agenda politik terselindung bagi membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti pemilik akaun TikTok berkenaan serta kesahihan maklumat yang disebarkan kepada umum tanpa sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa.

“PDRM dan MCMC perlu menyiasat sama ada individu terbabit benar-benar mempunyai bukti yang sah atau sekadar menyebarkan tuduhan tidak berasas yang boleh mencetuskan keresahan awam serta mengganggu kestabilan politik negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, dakwaan bahawa Raja Azman kini berada di London dan bersedia memberikan keterangan secara dalam talian melalui peguamnya juga perlu disemak secara terperinci bagi memastikan tiada unsur manipulasi maklumat oleh pihak ketiga.

“Sekiranya dakwaan yang dibangkitkan itu didapati palsu atau tidak berasas, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah jenayah dan hasutan yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, SEKPUR memohon Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM bersama MCMC mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun berkenaan, menyiasat motif penyebaran kandungan tersebut serta mengesahkan kesahihan sumber maklumat yang digunakan.

“Tindakan tegas perlu diambil di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu atau fitnah.

“Institusi diraja tidak seharusnya dijadikan bahan manipulasi politik atau dieksploitasi bagi mencapai agenda tertentu.

“Kedaulatan institusi ini perlu dipelihara demi menjamin keharmonian, kestabilan politik dan keluhuran undang-undang negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI